
Barisan Nasional (BN) berada pada kedudukan kukuh untuk meraih majoriti dua pertiga dalam PRN Johor ke-16, dengan populariti Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, menjadi antara faktor utama memacu sokongan pengundi, menurut kajian Ilham Centre.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata kajian itu mengunjurkan BN mendahului di 39 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) dijangka memenangi sembilan kerusi, dengan baki lapan kerusi masih dikategorikan sebagai sengit.
Katanya, suasana PRN yang berbeza daripada Pilihan Raya Umum (PRU) memberi kelebihan kepada BN kerana pengundi lebih menilai prestasi kerajaan negeri, rekod pentadbiran, dan keberkesanan kepimpinan Onn Hafiz berbanding isu nasional.
Kajian itu turut mendapati tahap populariti Onn Hafiz mencecah 79 peratus, jauh mengatasi populariti Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang mencatat 40 peratus dalam kalangan responden.
Naratif kestabilan lebih mudah diterima pengundi
Hisommudin berkata, naratif kempen BN yang memfokuskan kestabilan politik, kesinambungan pentadbiran, serta projek pembangunan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RTS Link, dan pembangunan pusat data lebih mudah diterima pengundi berbanding pendekatan PH yang banyak bergantung kepada pengaruh pemimpin pusat.
Katanya, kajian itu juga mendapati PH berdepan cabaran besar untuk menggerakkan penyokong tradisinya keluar mengundi, khususnya pengundi Cina. Menurutnya, PH memerlukan sekurang-kurangnya 65 peratus kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina bagi mengekalkan kelebihan di kerusi bandar dan separa bandar.
“Sekiranya peratusan itu gagal dicapai, beberapa kerusi yang sebelum ini dianggap selamat berpotensi bertukar menjadi kerusi sengit atau dimenangi BN,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kajian mendapati Perikatan Nasional (PN) bukan lagi pencabar utama kepada BN seperti PRU15, susulan kemelut hubungan antara PAS dan Bersatu yang dikatakan menjejaskan keyakinan penyokong terhadap gabungan itu.
Katanya, sebahagian penyokong PAS di kawasan majoriti Melayu kini lebih cenderung memberikan sokongan taktikal kepada BN berbanding mempertahankan kekuatan PN, sekali gus mengukuhkan kedudukan BN di kawasan berkenaan.
Pengundi muda semakin utamakan calon berbanding parti
Mengenai pengundi muda yang membentuk hampir 48 peratus daripada keseluruhan pengundi, beliau mendapati kumpulan itu semakin bersifat candidate centric dan lazimnya membuat keputusan pada saat akhir.
“Pengundi muda dilaporkan lebih menilai rekod perkhidmatan, keterlihatan calon di kawasan, dan keupayaan menyelesaikan isu setempat berbanding kesetiaan kepada parti politik,” katanya.
Berdasarkan dapatan itu, beliau berkata lapan kerusi iaitu Tenang, Tangkak, Maharani, Layang-Layang, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Kota Iskandar, dan Bukit Batu masih kekal terbuka, dengan keputusan bergantung kepada kadar keluar mengundi, arah sokongan penyokong PN, serta pengundi muda yang masih belum membuat keputusan.
Kajian lapangan Ilham Centre dijalankan dari 26 Jun hingga 9 Julai lalu, melibatkan 1,250 responden di semua 56 DUN Johor, dengan margin ralat sebanyak 2.77 peratus.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.