
Barisan Nasional (BN) Melaka tidak perlu menjelaskan satu per satu pencapaian pentadbirannya kerana rakyat negeri itu sendiri tahu apa yang telah diusahakan oleh kerajaan negeri, kata Ab Rauf Yusoh.
Pengerusi BN Melaka itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari, yang mempersoalkan pencapaian pentadbiran BN walaupun diberikan mandat besar pada PRN Melaka lalu.
Adly persoal mandat besar BN
Sebelum itu, Adly berkata BN perlu memperjelas pencapaiannya sepanjang diberikan mandat besar, bukan sekadar meminta pengundi terus percaya tanpa keluhan mereka ditangani.
Menurutnya, mandat hampir 75% kerusi DUN sepatutnya diterjemahkan kepada penyelesaian masalah rakyat, khususnya berkaitan perumahan, kebajikan dan peluang pekerjaan.
Adly turut mendakwa isu banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan dan penyelenggaraan kemudahan awam, khususnya Melaka Sentral, masih membelenggu rakyat.
“Cermin diri kita”
Ab Rauf enggan mengulas lanjut kerana Adly juga pernah menjadi ketua menteri Melaka.
“Saya tak nak ulas kerana beliau juga pernah jadi ketua menteri Melaka. Saya pun tak nak ulas masa dia jadi menteri apa dia buat,” katanya kepada media selepas melawat Bilik Gerakan BN DUN Telok Mas.
Katanya, lebih baik semua pihak bercermin diri supaya tahu apa yang telah dilakukan untuk rakyat.
“Jadi lebih baiklah kita cermin diri kita, supaya kita tahu apa yang kita buat untuk rakyat. Saya ingat orang Melaka tahu apa yang kita buat, yang tak tahu dia,” katanya.
Seru jentera berkempen berhemah
Dalam pada itu, Ab Rauf menyeru jentera BN supaya berkempen secara berhemah kerana percaya rakyat Melaka tidak mengamalkan politik kebencian, hasutan atau fitnah.
“Biar orang lain buat (amal politik kotor), kita hanya bercerita tentang apa yang telah kita laksanakan kepada rakyat dan apa yang rakyat dapat dalam kita menguruskan negeri ini selama lima tahun,” katanya.
Beliau berkata, gambaran yang diberikan rakyat pada hari penamaan calon semalam, dengan ribuan hadir memberi sokongan, menunjukkan semangat besar untuk BN kembali memerintah.
Rauf turut menegaskan BN sudah melaksanakan kerja lebih awal dan tidak hanya mendekati rakyat atau menawarkan janji ketika tempoh kempen pilihan raya selama 14 hari.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.