
Barisan Nasional (BN) menafikan terdapat rancangan istiadat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Serting, Jempol, sekiranya parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Mohamad Hasan berkata, perkara itu berada di luar pengetahuannya dan menganggapnya sebagai fitnah serta perang psikologi pihak lawan.
Dakwaan dilihat sebagai taktik fitnah
“Di luar pengetahuan saya, itu naratif mereka hendak perang psikologi supaya orang marah dengan BN.
“Saya tak tahu adanya perancangan begitu, itu semua perang psikologi, saya harap rakyat tidak termakan fitnah,” katanya.
Seruan supaya rakyat tidak terpedaya
Mohamad turut menegaskan, gaya sedemikian bukanlah perkara baharu dalam mana-mana pilihan raya, dan menyeru semua pihak supaya lebih matang dalam berkempen.
“Itulah gaya sejak dulu, hanya fitnah, tiada perkara lain. Dalam pilihan raya ini, kita mesti yakinkan rakyat, apa kita boleh buat, apa yang perlu dilakukan, bukan memfitnah. Dewasalah segera, kerana orang tidak lagi makan fitnah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, di sini hari ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.