
ep Guardiola mengakui perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kini bukan lagi berada dalam kawalan Manchester City selepas pasukannya seri 3-3 dengan Everton, awal pagi tadi.
“Sekarang ia bukan lagi di tangan kami. Sebelum ini ya, tetapi sekarang tidak,” kata Guardiola.
“Masih ada empat perlawanan liga lagi. Semuanya masih boleh berlaku dan kita lihat apa yang akan terjadi.”
Keputusan di Stadium Hill Dickinson itu menyebabkan City kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, walaupun masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
City bernasib baik elak kekalahan
City sebelum ini berpeluang menyamakan pungutan mata Arsenal sekiranya berjaya menewaskan Everton dan Brentford dalam dua aksi berturut-turut.
Namun Guardiola mengakui pasukannya bernasib baik kerana sekadar mengelak kekalahan berbanding meraih tiga mata penuh.
“Ia lebih baik daripada kalah. Sudah tentu kami mahu menang. Kami bermain untuk itu dan pemain menunjukkan semangat sebenar pasukan ini. Mereka berjuang habis-habisan,” katanya.
Pemain sayap, Jeremy Doku, muncul penyelamat City apabila menjaringkan gol penyamaan dramatik pada minit ke-97 untuk melengkapkan dua gol peribadinya dalam perlawanan itu.
Walaupun kecewa dengan keputusan tersebut, Doku menegaskan City belum mengalah dalam perebutan gelaran EPL.
“Ia menyakitkan sekarang tetapi masih banyak perlawanan dan apa sahaja boleh berlaku.
“Kami akan terus berjuang. Kami berhutang kepada diri sendiri dan penyokong,” katanya.
Penyerang City, Erling Haaland, yang turut menjaringkan gol pada minit ke-83, dilaporkan berkata “kami masih belum tersingkir” ketika bersalaman dengan rakan sepasukan selepas wisel penamat.
Arsenal miliki laluan lebih mudah
Selepas menentang Brentford Sabtu ini, City akan berdepan Crystal Palace, Bournemouth dan Aston Villa bagi baki aksi liga musim ini.
Arsenal pula dilihat memiliki jadual lebih mudah di atas kertas apabila bakal menentang West Ham United yang sedang bergelut mengelak penyingkiran, Burnley yang sudah tersingkir dan Palace.
Walaupun peluang mempertahankan kejuaraan menerima tamparan besar, City masih berpeluang memburu treble domestik selepas menjuarai Piala Liga dengan menewaskan Arsenal pada Mac lalu.
Mereka juga dijadual bertemu Chelsea pada final Piala FA, 16 Mei ini.
Chelsea terus merudum
Dalam perkembangan lain, Chelsea mencatat rekod paling buruk dalam tempoh 33 tahun selepas tewas 1-3 di laman sendiri kepada Nottingham Forest, malam tadi.
Kekalahan itu menyaksikan kelab London tersebut mengalami enam kekalahan liga berturut-turut buat kali pertama sejak 1993.
Chelsea hampir mencatat satu lagi rekod buruk apabila nyaris tewas enam perlawanan liga berturut-turut tanpa sebarang jaringan sebelum Joao Pedro menjaringkan gol menerusi sepakan gunting pada minit ke-93.
Dengan musim berbaki tiga perlawanan, Chelsea kini hanya lima mata di atas Leeds United yang menghuni tangga ke-14, iaitu kedudukan terburuk pernah dicatat kelab itu pada musim 1993-94.
Walaupun berjaya mara ke final Piala FA menentang Manchester City pada 16 Mei ini, Chelsea masih berisiko menamatkan musim liga di kelompok bawahan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.