
Jabatan Pelancongan Filipina (DOT) menegaskan bahawa negara itu, termasuk wilayah Mindanao, kekal selamat dan mesra pelancong, sambil menolak dakwaan yang mengaitkan Filipina dengan insiden tembakan di Bondi Beach, Australia.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan media antarabangsa yang mengaitkan kejadian tersebut dengan lawatan terdahulu suspek ke Davao City.
DOT berkata gambaran sedemikian adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan realiti sebenar Filipina.
“Gambaran ini tidak mencerminkan realiti sebuah negara yang selamat, digemari dan diterima baik oleh jutaan pelancong dari seluruh dunia,” menurut kenyataan DOT yang dipetik oleh Agensi Berita Filipina.
Menurut DOT, Filipina dikenali di peringkat global kerana kepelbagaian destinasi pelancongan, warisan budaya yang kaya serta layanan mesra rakyatnya.
DOT menegaskan Filipina kekal sebagai destinasi pilihan yang selamat, bertenaga dan bersedia menyambut pelancong antarabangsa.
Sejak awal tahun ini, DOT giat mempromosikan pelancongan di Mindanao, khususnya di Davao City dan Pulau Siargao, dengan tumpuan kepada gastronomi, budaya, pantai dan aktiviti luncur ombak.
Angkatan Tentera Filipina sebelum ini berkata tiada petunjuk bahawa suspek menjalani latihan di Mindanao atau berlaku aktiviti pengganas asing di kawasan itu.
Pihak berkuasa berkata siasatan masih dijalankan bagi menentukan tujuan sebenar lawatan mereka ke Filipina.
Terdahulu, ABC Australia memetik seorang pegawai antikeganasan yang tidak dinamakan mendakwa suspek menjalani latihan ala ketenteraan di selatan Filipina.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.