
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Hamzah Zainudin, menyeru Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) supaya bertolak ansur dalam rundingan pembahagian kerusi, demi meneruskan momentum “gelombang biru” menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, presiden-presiden parti dalam kedua-dua gabungan itu perlu duduk semeja untuk berbincang secara terus, bukan sekadar bertukar kenyataan menerusi media.
“Namun, jika kita benar-benar mahu bergabung dan meneruskan gelombang biru yang telah bermula di Johor, maka semua pihak perlu mempunyai sikap bertolak ansur.
“Presiden-presiden parti perlu duduk semeja bagi membincangkan pembahagian kerusi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Wawasan.
Beliau berkata demikian sambil mengulas kenyataan Pengerusi BN, Zahid Hamidi, semalam yang menyebut gabungan itu berhasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang pada PRN Melaka akan datang.
Zahid turut berkata BN terbuka untuk mengadakan persefahaman dengan mana-mana pihak, termasuk PN, seperti yang pernah dilakukan di Negeri Sembilan.
Belum ada tarikh rundingan rasmi
Hamzah berkata, setakat ini belum ada sebarang tarikh ditetapkan untuk rundingan rasmi antara kedua-dua gabungan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan semua pihak wajar melihat kepentingan yang lebih besar, bukan sekadar tertumpu kepada Melaka semata-mata, tetapi juga mengambil kira negeri lain yang bakal turut berdepan pilihan raya tidak lama lagi.
“Agenda yang lebih besar ialah kepentingan rakyat. Kita tidak mahu selepas berkempen dengan pelbagai janji, apabila sudah menang dan berkuasa, pendekatan pula berubah,” katanya.
Wawasan mahu bertanding di Bemban dan Sungai Udang
Hamzah turut menyatakan hasrat partinya untuk bertanding di kerusi Bemban dan Sungai Udang pada PRN Melaka nanti.
Beliau mendakwa, dua penyandang kerusi berkenaan sudah menyatakan sokongan kepada Wawasan, lantas beliau mahu kedua-dua wakil rakyat itu diberi peluang untuk bertanding sekali gus mempertahankan kerusi masing-masing.
Pintu terbuka untuk semua, termasuk bekas pemimpin Bersatu
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata Wawasan terbuka menerima penyertaan sesiapa sahaja, termasuk pemimpin daripada parti lain, selagi mereka dilihat mampu menyumbang kepada kekuatan parti.
Beliau menjawab demikian ketika ditanya mengenai peletakan jawatan Ketua Bersatu Terengganu, Razali Idris, baru-baru ini.
“Kita telah mengumumkan sesiapa sahaja dialu-alukan menyertai Wawasan. Jika ada yang mahu menyertai parti dan boleh menyumbang kepada kekuatan parti, kita akan menerima mereka,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.