
Seorang pemimpin DAP menyifatkan Hadi Awang sebagai penghukum agama, dengan pendekatan politiknya didakwa berbahaya kerana seolah-olah menjadikan PAS itu Islam.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata presiden PAS itu tidak mengamalkan pendekatan yang disarankan tokoh Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Hudhaibi, iaitu nahnu du’at, la qudhah, yang bermaksud kita pendakwah, bukan penghukum.
“Cara politik Hadi ni sangat berbahaya. Dia jadikan seolah-olah Islam itu PAS, PAS itu Islam dan dia bebas menghukum.
“Macam ambil kerja tuhan,” katanya di Facebook.
Kenyataan itu menyusul dakwaan Hadi menerusi Minda Presiden PAS, yang menyebut DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) menyambung kerja penjajah menghapuskan Melayu Islam.
Antara lain, Hadi mendakwa DAP yang mendominasi PH secara terbuka itu mendedahkan perjuangan sekularismenya yang ekstrem, serta konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkannya.
DAP sokong perlembagaan, bukan tolak Islam
Sheikh Umar menegaskan DAP menyokong Perlembagaan Malaysia, dan bergerak mengikut lunas yang turut memperuntukkan kedudukan Islam.
“Jika DAP menolak Islam, DAP pasti diharamkan sebab menolak apa yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.
Dakwa Hadi ubah pendirian ikut keadaan
Beliau yang juga naib pengerusi DAP Johor berkata, kenyataan Hadi hanyalah permainan politik, terutama apabila dilihat mengubah pendirian mengikut perkembangan semasa.
“Nak faham pendekatan politik Hadi ni, bagi saya mudah saja. Tahun 1981 dia sudah mengkafirkan Umno. Rakyat berpecah. Solat dua imam.
“Suami isteri sampai terpaksa perbaharui lafaz nikah sebab yang sebelum itu dianggap tak sah. Daging sembelihan orang Umno tak dimakan sebab dianggap tak halal. Kafir-mengkafir melanda masyarakat.
“Tapi, baru 27 Julai lepas, bila dia nak peluk Umno, dia kata perbezaan Umno-PAS hanyalah khilaf. Perkara cabang. Nampak tak?” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.