
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menutup terus pintu kemungkinan parti Islam itu memperbaiki hubungan dengan Bersatu, walaupun kedua-dua parti masih berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Hadi merujuk kepada keputusan Bersatu bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, serta hasrat parti itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri Melaka yang bakal berlangsung.
“Pada prinsipnya, (Bersatu) melawan kita dalam pilihan raya Negeri Sembilan, dan sekarang, mereka pula mahu bersama PH,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Hubungan mula renggang sejak akhir tahun lalu
Hubungan antara PAS dan Bersatu mula kelihatan goyah sejak penghujung tahun lalu, dengan ketegangan itu memuncak apabila PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik kedua-dua parti pada Jun lalu.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin kemudiannya menuduh PAS, yang kini mempengerusikan PN, membawa gabungan pembangkang itu ke arah yang salah sehingga menjadikannya “toksik”.
Bersatu tewas teruk dalam PRN Negeri Sembilan
Dalam pilihan raya negeri Negeri Sembilan, Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri tetapi mengalami kekalahan teruk.
Sebaliknya, PN yang memenangi tujuh kerusi berjaya membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.