
MCA Perak memohon ampun kepada Sultan Perak serta rakyat negara ini ekoran isu pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri secara terbalik di ibu pejabatnya, yang tular hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Perak, Mah Hang Soon berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memandang serius insiden tersebut.
Beliau menjelaskan, kesilapan yang tidak disengajakan itu telah diperbetulkan dengan segera. Pihak yang terlibat melakukan kesilapan berkenaan juga telah meletakkan jawatan serta-merta.
“Kejadian berlaku pada pagi tadi apabila seorang kakitangan Ibu Pejabat MCA Negeri Perak yang telah berusia ditugaskan memasang dan memacakkan Jalur Gemilang serta bendera Negeri Perak sempena meraikan Bulan Kemerdekaan.
“MCA Perak menegaskan bahawa ini adalah kesilapan yang tidak disengajakan dan tiada niat sedikit pun untuk menghina Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak,” katanya di sini hari ini.
Bendera diturunkan dan dikibarkan semula
Hang Soon berkata, sebaik sahaja kesilapan itu disedari, kedua-dua bendera berkenaan segera diturunkan dan dikibarkan semula dengan betul.
Dalam pada itu, MCA Perak turut mengesahkan bahawa pihaknya telah dikunjungi pegawai polis dari Balai Polis Ipoh kira-kira pukul 1 petang tadi bagi menjalankan siasatan.
Rakaman percakapan turut diambil daripada kakitangan terbabit serta pegawai pentadbiran ibu pejabat.
“MCA Perak telah dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“Kakitangan terbabit melahirkan rasa kesal dengan kejadian tersebut dan telah secara sukarela menawarkan diri untuk meletak jawatan,” katanya.
Peletakan jawatan diterima atas dasar hormat
Hang Soon berkata, Ibu Pejabat MCA Negeri Perak menerima peletakan jawatan itu atas dasar menghormati keputusan peribadi kakitangan berkenaan.
“Dia telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama bertahun-tahun. Kami akan menguruskan hal-hal berkaitannya berhubung perkara ini dengan sewajarnya,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.