
Pemimpin PKR Kedah menempelak Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor, yang didakwa menyalahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung keputusan mahkamah mengenai lesen premis perjudian di negeri itu.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah Tunku Nashrul, berkata Sanusi sepatutnya menjelaskan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri dalam kes berkenaan, bukannya menjadikan perdana menteri sebagai sasaran.
Katanya, tindakan kerajaan negeri menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan telah dicabar di mahkamah, dan keputusan akhirnya memihak kepada pengendali berkenaan.
“Sanusi, usah baling batu sembunyi tangan. Sikap bermuka-muka dan berpura-pura suci dalam isu ini jelas mencerminkan kemunafikan politik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut membangkitkan sejarah lampau berhubung isu ini, dengan mendedahkan bahawa cabutan khas judi pernah dinaikkan ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri itu suatu ketika dahulu.
“Realitinya, ketika PAS berada dalam kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran yang disertai partinya meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.
“Sebaliknya, Anwar sebagai perdana menteri dan menteri kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun,” katanya lagi.
Mahkamah Persekutuan tolak rayuan kerajaan Kedah
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang membatalkan tindakan negeri itu menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.
Mahkamah turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos sebanyak RM50,000, selepas panel tiga hakim memutuskan kerajaan Kedah gagal memenuhi ambang yang diperlukan untuk mendapatkan kebenaran merayu.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu, melalui keputusan majoriti 2-1, turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati tindakan kerajaan Kedah menghentikan lesen perniagaan perjudian itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam keputusan majoriti itu, Mahkamah Rayuan berpandangan urusan berkaitan perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, termasuk kuasa Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan dan mengawal selia lesen pengendali serta ejen perjudian.
Bahasa kesat Sanusi turut dikecam
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Taufiq Johari, turut menuduh Sanusi menghina keputusan mahkamah apabila menggunakan kata-kata kesat seperti “celaka” dan “pelaq” ketika mendesak Anwar menghalang pengendali berkenaan daripada memperbaharui lesen mereka.
Beliau menambah, walaupun Islam jelas melarang perjudian bagi umat Islam, penggunaan bahasa yang tidak sopan itu tetap tidak wajar bagi seorang pemimpin seperti Sanusi.
“Tindakan dan kata-katanya bukan sahaja merupakan serangan terhadap perdana menteri, malah penghinaan terhadap keputusan mahkamah dan maruah Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan adalah muktamad dan dibuat secara bebas tanpa campur tangan pihak eksekutif. Perkara berkaitan undang-undang seperti ini tidak sepatutnya dijadikan bahan politik murahan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Sanusi turut dilaporkan memberi amaran bahawa perdana menteri akan dimaki rakyat Kedah sekiranya membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu.
Berucap pada sesi penjelasan isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah pada malam Selasa, beliau berkata kerajaan negeri sudah melakukan apa yang terdaya untuk menghalang aktiviti berkenaan menerusi larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri di Kedah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.