
Seorang wakil rakyat DAP mengingatkan Pakatan Harapan (PH) supaya mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu dan tidak lagi terlalu bergantung kepada “parti-parti lain” yang boleh menarik sokongan pada bila-bila masa.
Adun Kota Kemuning, Preakas Sampunathan, mengulas laporan mengenai dua Adun Bersatu yang tidak menolak kemungkinan menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, sehingga tamat penggal.
Menurutnya, PH masih mampu mempertahankan pentadbiran Selangor berdasarkan kekuatan yang sedia ada tanpa perlu bergantung kepada pihak luar.
“Fokus kekuatan PH sendiri daripada bergantung kepada parti-parti lain yang akan menjadi masalah pada masa hadapan,” katanya kepada FMT.
Beliau turut memberi contoh bagaimana keadaan seperti ini pernah berlaku sebelum ini, di mana pihak yang datang menyokong akhirnya berundur apabila timbul sedikit kekurangan atau isu.
“Macam apa yang berlaku sekarang, mereka datang dan apabila melihat ada kekurangan atau beberapa isu, mereka tinggalkan kita,” katanya.
Namun begitu, Preakas berkata soal sokongan itu terpulang sepenuhnya kepada Adun Bersatu jika mereka mahu menyatakan sokongan kepada Amirudin.
“Jika mereka nak sokong, terpulang kepada mereka,” katanya ringkas.
Kenyataan Adun Bersatu cetus persoalan sokongan
Sehari sebelum itu, Adun Gombak Setia, Hilman Idham, berkata dua Adun Bersatu di Selangor tidak menolak kemungkinan wakil rakyat parti itu akan menyokong pentadbiran Amirudin.
Menurut Hilman, perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil, memandangkan pendirian Bersatu sebelum ini yang pernah bekerjasama dengan pelbagai parti politik, termasuk Barisan Nasional (BN) dan PH sendiri.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023, PH berjaya memenangi 32 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) menguasai 22 kerusi yang terdiri daripada Bersatu (12 kerusi) dan PAS (10 kerusi). BN pula hanya memenangi dua kerusi.
Senario sama pernah berlaku di Pahang
Perkembangan ini turut mengingatkan kepada situasi yang berlaku di Pahang baru-baru ini.
Wakil rakyat Bersatu di negeri itu, iaitu Adun Kuala Sentul, Jasri Jamaludin, dan Adun Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus, dalam satu kenyataan bersama, telah mengumumkan pendirian mereka menyokong Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, sehingga PRN akan datang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.