
Cadangan menamakan Presiden Parti Wawasan Negara, Hamzah Zainudin, sebagai calon perdana menteri berisiko meretakkan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang baru terjalin kurang dua minggu, kata penganalisis.
Mereka berkata saranan Setiausaha Agung Wawasan, Saifuddin Abdullah, itu ibarat menabur garam pada luka selepas hubungan kedua-dua gabungan diuji beberapa isu, termasuk cadangan menggunakan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) dan kenyataan kontroversi Pengarah Pilihan Raya PN, Sanusi Nor, ketika berkempen.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata isu calon perdana menteri tidak sepatutnya dibangkitkan terlalu awal ketika hubungan PN-BN masih berasaskan persefahaman bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
“Apabila Saifuddin menyatakan Hamzah sebagai calon perdana menteri, ia berpotensi mencetuskan konflik antara BN dan PN,” katanya kepada FMT.
Zahid dijangka tidak bersetuju dengan cadangan itu
Mazlan menjangkakan Pengerusi BN, Zahid Hamidi, tidak akan bersetuju dengan cadangan itu walaupun presiden Umno berkenaan menyifatkannya sebagai cita-cita baik yang wajar dihormati.
Katanya, respons Zahid yang turut mengucapkan selamat maju jaya boleh dibaca sebagai sindiran kerana Umno tidak mungkin menyerahkan jawatan perdana menteri kepada gabungan lain.
“Kecuali keputusan pilihan raya menunjukkan pihak berkenaan memperoleh lebih banyak kerusi,” ujarnya.
Beliau membayangkan keadaan itu boleh mencetuskan perdebatan seperti ketika Bersatu mahu Muhyiddin Yassin dijadikan calon PM dari PN tetapi pada masa sama timbul nama Hamzah serta Pengerusinya, Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Dalam PN sendiri pun perkara itu tidak dapat diputuskan, apatah lagi apabila ia melibatkan kerjasama dengan BN. Saya fikir perkara ini mungkin mencetuskan konflik baharu,” katanya.
Dalam sebuah program audio siar baru-baru ini, Saifuddin berkata Wawasan menawarkan Hamzah sebagai muka baharu untuk dijadikan calon perdana menteri sekiranya PN memenangi PRU16.
Kenyataan itu dibuat ketika PN bekerjasama dengan BN pada PRN Negeri Sembilan, dengan Hamzah membayangkan kerjasama berkenaan sebagai pembentukan jajaran baharu yang boleh diperluaskan dalam usaha mengambil alih Putrajaya.
Di peringkat pusat, BN menjadi sebahagian parti di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, yang dibentuk selepas keputusan Parlimen PRU15 yang tergantung.
Isu calon PM antara perkara paling sensitif dalam rundingan
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata soal calon perdana menteri adalah antara perkara paling sensitif dalam rundingan membentuk gabungan politik.
Beliau berkata BN hampir pasti tidak akan menerima begitu sahaja calon yang dikemukakan PN kerana kedua-dua pihak mempunyai aspirasi dan kepentingan politik masing-masing.
Menurutnya, polemik berhubung nama PBN serta beberapa kenyataan kontroversi sebelum ini menunjukkan kepercayaan antara PN dan BN masih rapuh.
“Pengumuman calon perdana menteri terlalu awal berpotensi membuka semula pergeseran antara mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Zainal Abidin Sanusi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berpandangan cadangan menampilkan wajah baharu tidak seharusnya menggugat pakatan yang mempunyai asas kukuh.
“Kalau satu tawaran wajah baharu sudah cukup untuk meretakkan pakatan, masalahnya bukan tawaran itu, tetapi pakatan itu yang dibina atas kuasa, bukan prinsip.
“Pihak yang paling awal tergesa-gesa menamakan calon perdana menteri mungkin sebenarnya mempunyai kedudukan paling lemah,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.