
Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin menggesa barisan pemimpin dan wakil rakyat yang menyertai gerakan ‘Reset’ untuk mula menterjemahkan idealisme gerakan itu kepada tindakan praktikal.
Hamzah, yang juga Ketua Pembangkang, berkata ‘Reset’ merupakan langkah permulaan ke arah pembetulan dan penambahbaikan bagi membina semula kekuatan kolektif demi masa hadapan negara.
“Kini, tanggungjawab terletak kepada seluruh sahabat seperjuangan tidak kira sama ada di Bahagian, DUN, Parlimen, atau di setiap peringkat organisasi untuk menterjemahkan semangat reset kepada tindakan yang nyata,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Jumaat lalu, Ahli Parlimen Larut itu dipecat daripada Bersatu bersama tiga lagi Ahli Parlimen dan dua ADUN susulan keputusan Lembaga Disiplin parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti.
Sehari selepas pemecatannya, Hamzah menghadiri perhimpunan ‘Reset’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) yang turut dihadiri 19 Ahli Parlimen Bersatu dan bekas ahli parti itu.
Beliau menegaskan bahawa ‘Reset’ bukan sekadar slogan atau manifestasi sokongan kepada individu tertentu, sebaliknya menuntut keberanian, kejujuran dan kesungguhan untuk melakukan perubahan.
Hamzah turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur majlis tersebut, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Ronald Kiandee, serta rakan-rakan NGO yang hadir.
“Ia membuktikan bahawa nilai perjuangan ini tidak akan dapat dihalang oleh mana-mana pihak. Akhirnya, ‘reset’ perlukan komitmen yang ikhlas demi agama, bangsa dan negara,” tegasnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.