
Harga durian Musang King merosot dengan ketara sehingga serendah RM10 sekilogram susulan lambakan bekalan di seluruh negara.
Keadaan itu memaksa ramai pekebun memintas orang tengah dan menjual terus kepada pengguna di kebun atau gerai tepi jalan bagi menampung kos operasi.
Di Segamat, Johor, pemilik Che Tat Durian Segamat, Muhamad Noriman Haikal Mohd Nazri berkata lambakan berlaku apabila kebun yang ditanam beberapa tahun lalu kini berbuah serentak.
Menurutnya, Musang King gred A yang sebelum ini dijual antara RM60 hingga RM75 sekilogram kini jatuh kepada RM45 hingga RM50, manakala gred lebih rendah boleh mencecah RM10 bergantung kepada kualiti dan saiz.
Beliau menegaskan kos pengeluaran tidak menurun, dengan setiap pokok Musang King menelan belanja sekitar RM600 setahun bagi baja, racun, air, tenaga kerja dan penyelenggaraan.
Beliau turut berkata Musang King berisiko kehilangan status eksklusif apabila pengguna beralih kepada varieti lain seperti Duri Hitam, Duri Jering Sembilan dan Tupai King.
Di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pekebun Mun Jing Chew menjual Musang King bersaiz kecil di tepi jalan pada harga RM10 sekilogram.
Katanya, jualan harian sekitar RM15,000 hanya mencukupi untuk menampung kos pengurusan tahunan antara RM200,000 hingga RM300,000.
Di Jerantut dan Bentong, Musang King gred C dijual serendah RM11 sekilogram manakala gred B sekitar RM18.
Pekebun Damak, Lim Kim Chooi berkata lebihan bekalan serta penyakit jalur harimau mempercepatkan kejatuhan harga, sambil menegaskan harga di bawah RM20 sekilogram akan menyebabkan kerugian.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.