
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyalahkan turbin angin kerana didakwa membunuh helang botak, burung kebangsaan negara itu, dalam satu hantaran media sosial hujung tahun.
Namun, semakan fakta mendapati gambar yang dikongsi Trump bukan sahaja tidak diambil di Amerika Syarikat, malah tidak memaparkan helang botak.
Dalam hantaran di Truth Social, Trump memuat naik gambar seekor burung di bawah turbin angin dan mendakwa “kincir angin membunuh semua helang botak kita”.
Helang botak merupakan burung kebangsaan AS dan simbol rasmi negara. Hantaran itu kemudiannya dikongsi semula oleh akaun rasmi Rumah Putih dan Jabatan Tenaga AS di platform X.
Bagaimanapun, AFP mendapati gambar sama pernah digunakan dalam laporan akhbar Israel, Haaretz, pada 2017, yang mengenal pasti burung tersebut sebagai spesies helang kecil atau burung helang jenis falcon. Tulisan Ibrani juga kelihatan pada turbin dalam gambar itu.
Dua pakar burung bebas mengesahkan bahawa burung berkenaan bukan helang botak, yang hanya terdapat di Amerika Utara dan mempunyai ciri kepala putih.
Profesor ornitologi Universiti Oxford, Ben Sheldon, berkata: “Ia pasti bukan helang botak.”
Pengkritik Trump segera mengejek kesilapan itu, termasuk Gabenor California Gavin Newsom yang mempersoalkan pengetahuan Trump mengenai burung kebangsaan AS.
Menurut Institut Teknologi Massachusetts, walaupun turbin angin menyebabkan kematian burung setiap tahun, jumlahnya jauh lebih kecil berbanding kematian akibat perlanggaran bangunan atau serangan kucing peliharaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat Buletin Rakyat.