
Bersatu Kelantan tidak menolak kemungkinan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan hari ini.
Pengerusinya, Kamaruddin Md Noor berkata, pertimbangan tersebut mengambil kira status PAS dan Bersatu sebagai dua parti terbesar dalam gabungan tersebut.
Beliau mendedahkan bahawa Muhyiddin sebelum ini pernah menawarkan jawatan tersebut kepada Abdul Hadi, namun Ahli Parlimen Marang itu menolaknya.
“Oleh kerana PN hanya mempunyai dua parti besar iaitu Bersatu dan PAS, adalah logik untuk pengerusi PN datang dari PAS. Mengikut perlembagaan PN, gabungan ini dipimpin oleh ketua parti masing-masing, dan jika PAS memimpin PN, sudah tentu ia adalah Abdul Hadi,” katanya dalam majlis Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra hari ini.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan bahawa pemimpin yang bakal mengetuai PN tidak semestinya Abdul Hadi, sebaliknya individu yang dipercayai mampu menyatukan kekuatan gabungan.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengesahkan parti itu akan mencadangkan beberapa nama untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PN dalam masa terdekat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.