
Bandar Hatyai yang sebelum ini dipenuhi pelancong kini bertukar sunyi selepas banjir baru-baru ini, dengan deretan rumah dipenuhi lumpur dan premis perniagaan masih bertutup.
“Hat Yai sekarang sunyi. Banyak premis perniagaan masih tutup, dan rumah-rumah penduduk masih penuh dengan lumpur,” kata Ahmad Qushairy Ahmad Zaini, 38 tahun.
Rakyat Malaysia yang menetap di Hat Yai itu berkata, beliau baru pulang ke rumah semalam dan terkejut melihat tahap kerosakan akibat banjir yang melanda pada 22 November lalu.
Beliau berkata, sebaik melangkah masuk ke rumah, lantai dipenuhi lumpur tebal dan kebanyakan barangan di tingkat bawah telah tenggelam dalam air banjir.
“Semasa kejadian, saya sudah pulang ke Malaysia tetapi isteri saya berada di Hat Yai dan berlindung di tingkat atas rumah dua tingkat kami.
“Tingkat bawah tenggelam sepenuhnya, dan air hampir mencecah tingkat atas — cuma berbaki dua anak tangga. Isteri saya hanya mampu berdoa supaya air cepat surut,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Ahmad Qushairy, dalam perjalanan pulang dari Malaysia, beliau melihat banyak kenderaan — terutama milik rakyat Malaysia — masih tersadai atau ditinggalkan selepas ditenggelami air.
Katanya, ada kenderaan yang dihanyutkan arus deras sehingga hampir satu kilometer dan berakhir di kawasan berhampiran rumahnya.
“Keadaan tak dapat saya gambarkan dengan kata-kata, seolah-olah tsunami yang melanda.
“Semalam, saya balik untuk mula membersih, dan dapati kereta saya rosak teruk akibat banjir, manakala motosikal pula diselaputi lumpur.
“Saya mahu habiskan kerja membersihkan rumah dahulu sebelum ke kedai makan saya yang terletak berdekatan untuk mula cuci di sana pula,” katanya.
Beliau berkata, setakat semalam, sukarelawan dari Malaysia masih berada di Hat Yai bagi menghantar makanan dan bekalan perubatan kepada rakyat Malaysia yang masih menginap di hotel kerana urusan kerja dan komitmen lain.
Tambahnya, beliau masih belum dapat mengira jumlah kerugian kerana banjir menjejaskan rumah, kenderaan dan perniagaan makanannya.
“Untuk membuka semula restoran akan ambil masa yang lama, sebab banyak peralatan dan stok sudah rosak.
“Hat Yai memang sudah dibuka kepada pelawat, tetapi buat masa ini sebenarnya tak ada apa-apa untuk dilihat — semuanya musnah akibat banjir,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.