
Presiden Warisan Shafie Apdal menafikan dakwaan parti itu cuba memujuk atau membeli Adun untuk menumbangkan pentadbiran Hajiji Noor yang baharu berusia tiga hari.
Beliau berkata komitmen Warisan berasaskan integriti dan kepimpinan mesti diperoleh melalui kepercayaan rakyat.
“Warisan menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi yang menjadi asas pentadbiran Sabah,” katanya dalam kenyataan.
“Kami akan terus melaksanakan amanah dengan maruah dan iltizam demi berkhidmat kepada Sabah,” tambahnya.
Dakwaan usaha menjatuhkan kerajaan GRS Plus
Semalam, sumber GRS mendakwa wujud cubaan daripada Warisan untuk menjatuhkan kerajaan GRS Plus dengan menawarkan jawatan menteri penuh kepada Adun BN dan lima Adun bebas.
BN memenangi enam kerusi di Lamag, Kunak, Liawan, Sukau, Sook dan Bengkoka, manakala calon bebas menawan Pintasan, Kukusan, Petagas, Bandau dan Tulid.
Sumber itu berkata BN diterima menyertai kerajaan GRS Plus bagi mengelakkan pentadbiran Hajiji tumbang beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.
Timbalan Ketua Menteri I Joachim Gunsalam mengumumkan BN dan PH kini sebahagian daripada kerajaan Sabah bawah pimpinan Hajiji.
Adun Melalap Jamawi Jaafar dari PH dan Adun Sukau Jafry Ariffin dari BN antara 10 menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Musa Aman.
Keputusan PRN Sabah
Pada PRN Sabah Sabtu lalu, GRS menang 29 kerusi dan disokong tiga Adun Upko, lima bebas, seorang wakil rakyat PH serta seorang daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat.
Blok pembangkang bakal diwakili Warisan dengan 25 kerusi, diikuti Parti Solidariti Tanah Airku yang meraih dua kerusi dan satu daripada Perikatan Nasional.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.