
UMNO dan PAS perlu mengelakkan perbalahan serta mengetepikan perbezaan bagi memastikan kekuatan kerjasama kedua-dua parti terus dipertahankan.
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata perpecahan hanya akan melemahkan kekuatan politik mereka. Beliau mengingatkan pimpinan kedua-dua parti supaya mengambil iktibar daripada peringatan al-Quran mengenai bahaya perselisihan.
“Dua saja, berbalah atau kalah, jadi nak yang mana?” katanya ketika berucap sebelum mengiringi calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Rais Yasin, ke Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Serbaguna Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM), Sungai Udang di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Shamsul Anuar Nasarah; Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Azian Osman; dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Kuasa Melayu Islam jadi tonggak
Menurut Idris, kerjasama UMNO dan PAS penting bagi memastikan kekuatan politik Melayu Islam terus menjadi tonggak dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.
“Sebab itu kita nak supaya hari ini kita bekerjasama untuk memastikan dalam perjuangan kita ini ialah perjuangan bagi memastikan kuasa orang-orang Melayu Islam ini menjadi dominan dan menjadi tonggak kepada kekuatan kita,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuhkan kerjasama itu tidak seharusnya terhenti setakat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Sebaliknya, ia perlu menjadi sebahagian daripada hala tuju yang lebih besar menuju Putrajaya.
“Kita lihat penolakan gelombang Pakatan Harapan (PH) di Sabah, di Johor, kita tarik sedikit ikatan di Negeri Sembilan kemudian pula di Melaka.
“Seterusnya insya-Allah, ini merupakan ‘roadmap’ kita ke Putrajaya nanti,” katanya.
Penyokong PAS diarah beri sokongan padu
Dalam pada itu, Idris berkata pimpinan dan penyokong PAS di DUN Sungai Udang sudah diarahkan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Rais.
Katanya, pendekatan mendekati masyarakat perlu diperluaskan di pelbagai lokasi, termasuk kedai, majlis kenduri dan tempat tumpuan penduduk, bagi menyampaikan mesej sokongan kepada Rais.
“Pastikan anak-anak kita, adik-beradik kita serta saudara-mara kita yang berada di luar balik (mengundi) dan kita lebar kempen pengaruh kita demi kemenangan calon Datuk Rais,” katanya.
Khaled: Petanda positif kerjasama erat
Sementara itu, Khaled menyifatkan kehadiran pimpinan tertinggi PAS hari ini sebagai petanda positif kepada permulaan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua parti.
Beliau berkata, UMNO turut akan memberi sokongan kepada calon PAS yang bertanding di DUN Paya Rumput, sebagaimana PAS menyatakan sokongan kepada calon BN.
Katanya, beliau berharap keempat-empat kerusi DUN dalam Parlimen Tangga Batu dapat dimenangi calon BN dan Perikatan Nasional (PN) menerusi kerjasama berkenaan.
DUN Sungai Udang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Rais, Mejar (B) Abdullah Mahadi daripada BERSATU dan Mohd Rizduan Abdul Rahman daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.