
Pilihan raya Israel yang berlangsung semalam merekodkan kadar keluar mengundi tertinggi dalam tempoh beberapa dekad.
Tinjauan pendapat susulan pengundian menunjukkan pembangkang mendahului dengan kelebihan tipis, tetapi tanpa majoriti. Ini bermakna kerajaan baharu hanya boleh dibentuk oleh mana-mana parti yang bersedia membina gabungan baharu.
Blok pembangkang mendahului
Tinjauan utama negara itu mengunjurkan blok pembangkang yang dipimpin bekas ketua tentera, Gadi Eisenkot, menang sekitar 52 atau 53 kerusi. Blok pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, pula dijangka memperoleh 50 kerusi.
Beberapa calon parti Arab Israel mencatat peningkatan memberangsangkan. Tinjauan sama menunjukkan mereka menang sekitar 17 hingga 18 kerusi.
Bagi blok Netanyahu, tiada ruang jelas untuk menambah kerusi. Beberapa parti kecil berhaluan kanan gagal melepasi ambang undian minimum untuk layak berada di Parlimen.
Laluan bentuk kerajaan masih kabur
Parti-parti politik dijangka memulakan perundingan untuk mencapai majoriti 61 daripada 120 kerusi Knesset (parlimen Israel). Namun, laluannya masih kabur.
Presiden Isaac Herzog akan menamakan calon yang dilihat berpeluang membentuk kerajaan, dan calon itu tidak semestinya datang daripada parti yang memperoleh kerusi terbanyak. Mengikut tinjauan awal, beliau mungkin cenderung memilih parti Likud pimpinan Netanyahu.
Calon yang dilantik pada prinsipnya mempunyai tempoh 28 hari untuk membentuk gabungan, dengan kemungkinan dilanjutkan 14 hari lagi. Untuk rekod, dalam pilihan raya November 2022, Netanyahu mengambil masa 58 hari untuk membentuk kerajaan.
Jika tiada calon berjaya membentuk kerajaan, Israel perlu mengadakan pilihan raya semula, walaupun terdapat prosedur lain yang boleh mengelakkan pilihan raya baharu diadakan serta-merta.
Parti Arab dan kemungkinan kerajaan perpaduan
Sekiranya tiada blok meraih 61 kerusi, seseorang calon boleh memerintah tanpa majoriti dengan bergantung pada sokongan ‘ad hoc’, iaitu mengikut keperluan, daripada ahli Parlimen lain.
Dalam senario ini, ahli Parlimen parti Arab Israel boleh memainkan peranan penting. Komuniti mereka merangkumi 20 peratus penduduk dan secara amnya menampilkan diri sebagai rakyat Palestin.
Parti Raam, yang dipimpin Mansour Abbas, pernah menjadi penentu atau ‘king maker’. Parti itu menjadi parti Arab pertama menyertai kerajaan Israel dalam gabungan singkat pada 2021 hingga 2022 di bawah Naftali Bennett dan Yair Lapid.
Raam dan beberapa parti Arab lain menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan blok Eisenkot. Namun, kem itu terus mengelak berbuat demikian kerana menganggap sokongan mereka sebagai liabiliti semasa kempen.
Satu lagi pergerakan Arab, Joint List, memaklumkan besar kemungkinan mereka tidak akan menyertai kerajaan gabungan secara terus. Sebaliknya, mereka menawarkan ‘jaringan keselamatan’ kepada mana-mana pihak yang berjaya menyingkirkan Netanyahu daripada terus berkuasa.
Dengan jurang politik yang begitu ketara di Israel, pembentukan kerajaan perpaduan nasional kelihatan sukar berlaku. Namun secara teori, ia boleh melahirkan kerajaan yang kurang radikal.
Penganalisis politik Israel turut membuat spekulasi bahawa Netanyahu, yang kini terdesak, mungkin bergabung dengan Eisenkot kerana kedua-duanya berkongsi pendirian sama dalam pelbagai isu keselamatan. Gabungan besar seumpama itu akan mengetepikan parti-parti Arab.
Tinjauan pendapat yang diterbitkan pada 16 Oktober lalu mendapati 55 peratus rakyat Israel lebih suka kerajaan perpaduan nasional berbanding pilihan raya baharu, jika pilihan raya yang dijalankan tidak menghasilkan majoriti jelas.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.