
Timbalan Mufti Pahang, Badli Shah Alauddin, mendedahkan beliau terpaksa menjawab aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) berhubung ceramahnya yang menyentuh topik generasi ‘strawberi’.
Perkara itu didedahkan ketika beliau menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Felda Kampung Sertik, Bentong, pada 18 Oktober lalu. Kuliah tersebut dikongsi menerusi rakaman video di saluran YouTube.
Diminta beri penjelasan dalam tempoh tiga hari
Dalam rakaman itu, Badli Shah mendakwa beliau diminta memberikan penjelasan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang dalam tempoh tiga hari.
“Saya tak ada nak cerita hal strawberi, saya jadi menyampah nak cerita. Tuan-tuan tahu, saya kena SISPAA tajuk tu?
“Punyalah teruk masyarakat, saya kena jawab. Saya diberi masa tiga hari oleh pihak SUK untuk jawab, kenapa saya ceramah tajuk tu. Malas ceritalah,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu ketika meluahkan rasa kecewa kerana ceramah mengenai topik berkenaan turut menyebabkan beliau perlu memberikan penjelasan kepada pihak terbabit.
Ceramah pernah tular pada September
Video ceramah Badli Shah yang menyentuh perihal generasi itu pernah menarik perhatian ramai di media sosial pada September lalu. Ia turut mengundang pelbagai maklum balas.
Menerusi perkongsian tersebut, beliau menegur segelintir golongan muda yang disifatkan kurang berdaya tahan apabila berdepan tekanan, teguran dan cabaran.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.