
Isu agihan kerusi membabitkan parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah selesai, kata Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata perkara itu sudah diselesaikan dengan sebaiknya.
“Isu (agihan kerusi membabitkan MCA bagi PRN Melaka) sudah ‘settle’ (selesai),” katanya ketika ditemui media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ab Rauf, yang juga Ketua Menteri Melaka, berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan rundingan agihan kerusi MCA menjelang PRN berkenaan.
Majlis watikah tanpa calon MCA
Terdahulu, Ab Rauf menghadiri majlis penyerahan watikah calon BN bagi PRN Melaka yang diadakan secara tertutup.
Bagaimanapun, calon MCA tidak kelihatan pada majlis itu ketika isu pembahagian kerusi parti berkenaan terus menjadi perhatian. Mereka sebaliknya menunggu keputusan mesyuarat tergempar parti itu di Wisma MCA, petang ini.
Antara calon BN yang hadir ialah Siti Aisyah Mahmood bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Fairul Nizam Roslan (Asahan), Zulkiflee (Taboh Naning), Mustafa Musa (Durian Tunggal) dan Khaidhirah Abu Zahar (Rim).
Calon MIC bagi DUN Gadek, S Nadarajah, turut dilaporkan hadir selepas menerima jemputan untuk mengambil watikah pencalonan.
Perbincangan khas dengan MCA
Semalam, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan perbincangan khas dengan kepemimpinan MCA berhubung pembahagian kerusi bagi PRN Melaka selesai dengan perkembangan positif.
Perbincangan itu membabitkan Presiden MCA, Wee Ka Siong, Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, serta Ab Rauf.
Sebelum ini, MCA dilaporkan bertegas tidak mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa persetujuan kepemimpinan tertinggi parti.
Ka Siong dilaporkan berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima. Beliau turut mendakwa kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diberikan kepada parti lain.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukan dua penyandang MCA yang diumumkan BN sebagai calon pada malam Sabtu lalu, iaitu Ngwe Hee Sem bagi kerusi DUN Machap Jaya dan Lim Ban Hong bagi kerusi Klebang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.