
Pakatan kerajaan Selangor dan Bersatu membolehkan pentadbiran diterajui Pakatan Harapan (PH) berkhidmat sehingga tamat penggal. Justeru, PRN boleh diadakan selepas PRU16, kata penganalisis.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) bersama Bersatu memberi ruang kepada pentadbiran Selangor terus berfungsi biarpun Parlimen dibubarkan. Beliau mengambil kira keretakan hubungan PH dan Barisan Nasional (BN).
“CSA itu memberi ruang kepada kerajaan Selangor mengekalkan kestabilan politik sehingga penggal DUN tamat secara automatik pada September 2028,” katanya kepada FMT.
Tangguh PRN untung PH?
Menurut Awang Azman, menangguhkan PRN Selangor menguntungkan PH kerana pengundi akan menilai prestasi kerajaan negeri secara berasingan daripada sentimen politik nasional. Ini lebih ketara jika Umno dan PAS membentuk pakatan pilihan raya.
“Isu nasional mampu mendominasi pertimbangan pengundi,” katanya.
“Dalam pada itu, mengadakan PRN serentak dengan PRU16 membolehkan jentera pilihan raya disatukan.”
Namun, beliau berkata persoalan lebih besar ialah sama ada PH mampu mengekalkan keyakinan pengundi terhadap keupayaannya memerintah, khususnya berkaitan isu kos sara hidup.
Serentak PRU16 lebih baik?
Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, lebih baik PH mengadakan PRN Selangor serentak dengan PRU16. Pilihan raya umum itu mesti diadakan selewat-lewatnya pada awal 2028, dan beliau melihat adanya risiko politik jika PRN ditangguhkan.
Fauzi berkata, PRN berasingan melibatkan kos tambahan dan bertentangan dengan naratif tadbir urus cekap yang dibawa PH.
Beliau percaya PH akan mengekalkan penguasaan di Selangor walaupun Umno dan PAS berjaya menjana gelombang sokongan kuat di bawah naratif penyatuan Melayu pada PRU16.
“Berdasarkan kekuatannya di kawasan bandar dan rekod perkhidmatan ekonominya yang mengagumkan sejak mengambil alih kerajaan negeri pada 2008, peluang menyebelahi PH untuk kekal berkuasa di negeri itu.”
“PH mesti mengelak memberi tanggapan gabungan itu terlalu banyak bermain politik (menangguhkan PRN) ketika negara berdepan turun naik ekonomi yang tidak menentu.
“Mengadakan PRN serentak PRU16 juga akan menunjukkan keyakinan PH, sesuatu yang amat penting memandangkan gabungan itu terus berdepan cabaran di kawasan nusa teras Melayu di Semenanjung,” katanya.
Bersatu hampir meterai pakatan
Minggu lalu, Menteri Besar Amirudin Shari berkata, Adun Bersatu hampir memeterai pakatan bersama kerajaan Selangor menjelang pembentangan belanjawan negeri.
Tawaran yang dicadangkan itu timbul di tengah-tengah ketegangan yang kian meningkat antara PH dan BN di Selangor. Pada masa sama, terdapat juga tekanan dalam Perikatan Nasional (PN), dengan PAS muncul sebagai rakan kongsi dominan.
DUN Selangor mempunyai 56 kerusi, terdiri daripada 32 Adun PH, diikuti Bersatu (11), PAS (10), BN (dua) dan seorang bebas.
Fauzi berkata, tidak semua Adun Bersatu bersetuju dengan kepimpinan semasa parti itu. Nurul Syazwani Noh (Permatang), yang dianggap sekutu Presiden Wawasan Hamzah Zainudin, menentang idea berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.