
Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, sedang berusaha mendapatkan tarikh dan waktu yang sesuai untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dalam masa terdekat.
Menurut beliau, tujuannya adalah untuk mempersembahkan kepada baginda rancangan kerajaan negeri mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), seterusnya membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 yang dirancang bulan depan.
“Setakat ini, belum (mendapat perkenan Tuanku Muhriz), saya sedang berusaha (untuk menghadap baginda),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Perpatih Fest 2026 di pekarangan Muzium Negeri, di sini, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua DUN, Awaluddin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim, dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Aziz Mohd Gorip.
Tarikh sidang kekal
Ismail berkata, setakat ini kerajaan negeri kekal dengan rancangan asal untuk mengadakan Persidangan DUN pada 26 November ini, disusuli pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada 27 November.
“Sebagaimana saya sebutkan sebelum ini, tarikh persidangan DUN itu kekal seperti dirancangkan selama lima hari bermula 26 November perasmian persidangan dan 27 November bagi pembentangan belanjawan,” katanya.
Beliau menegaskan keyakinannya bahawa DUN dapat bersidang pada tarikh berkenaan.
“Saya sedang berusaha mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Besar. Seperti mana saya sebut sebelum ini, itulah. Nanti kita tengok-tengok macam mana,” katanya.
Isu pembubaran automatik DUN
Mengulas pandangan pelbagai pihak bahawa DUN Negeri Sembilan terdedah kepada kemungkinan terbubar dengan sendirinya pada Februari 2027 sekiranya persidangan tidak diadakan seperti dirancang, Ismail berkata pihaknya akan meneliti perkara itu berdasarkan Perlembagaan Negeri.
“Itu saya tak pasti. Kita tengok dari segi undang-undang,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bekas Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata DUN boleh terbubar dengan sendirinya pada Februari 2027 sekiranya tiada sidang diadakan sehingga tempoh itu, seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan negeri.
Menurut Aminuddin, situasi itu menuntut kerajaan negeri pimpinan Ismail menyelesaikan isu proklamasi membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan secepat mungkin, bagi membolehkan Sidang DUN diadakan dan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dibentangkan.
Perkenan belum diperoleh
Difahamkan, sehingga kini kerajaan negeri belum memperoleh perkenan Tuanku Muhriz untuk mengadakan Sidang DUN.
Perkara itu berlaku selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz bertarikh 19 April 2026 adalah sah dan berkuat kuasa.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.