
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia kepada 4.5% bagi tahun 2025 dan 4.0% bagi tahun 2026, menurut kemas kini World Economic Outlook (WEO) yang dikeluarkan Julai 2025.
Unjuran baharu ini meningkat sebanyak 0.4 mata peratus bagi 2025 dan 0.2 mata peratus bagi 2026 berbanding laporan WEO April 2025.
Menurut IMF, peningkatan ini berpunca daripada asas fiskal yang kukuh, persekitaran luaran yang bertambah baik, dan dasar perdagangan yang lebih jelas.
Secara keseluruhan, pasaran pesat membangun dijangka berkembang 4.1% pada 2025 dan 4.0% pada 2026. China dijangka mencatat pertumbuhan 4.8% pada 2025, hasil prestasi kukuh separuh pertama tahun ini dan pengurangan tarif perdagangan dengan Amerika Syarikat.
India pula dijangka mencatat pertumbuhan 6.4% bagi kedua-dua tahun.
IMF menyeru negara-negara untuk mengurangkan ketidaktentuan dasar dengan mempromosi sistem perdagangan yang telus dan kerjasama pelbagai hala.
IMF turut menegaskan bahawa dasar monetari perlu diselaraskan secara spesifik berdasarkan keadaan negara, bagi memastikan kestabilan harga dan kewangan di tengah ketegangan perdagangan global.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.