
Pihak berkuasa Iran dilaporkan sedang membuat persediaan bagi kemungkinan majlis pengebumian selama seminggu bagi Ali Khamenei mengakibatkan antara 1,500 hingga 3,000 kematian, menurut laporan akhbar Jerman, WELT yang memetik sebuah dokumen sulit serta sumber di pihak berkuasa perbandaran Tehran.
Laporan yang ditulis dari Tehran oleh seorang penulis tanpa nama, namun identitinya diketahui oleh pihak editorial WELT, menyatakan pegawai kerajaan telah menyediakan pelan kontingensi bagi kemungkinan berlakunya bencana korban jiwa besar-besaran sepanjang perarakan pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran itu.
Menurut WELT, sepucuk surat sulit daripada Bulan Sabit Merah Iran serta organisasi pengurusan krisis negara kepada Naib Presiden Pertama, Mohammad-Reza Aref turut menganggarkan antara 1,500 hingga 3,000 kemungkinan kematian.
Laporan itu turut menyatakan sebuah unit khas telah ditubuhkan bagi mengendalikan mayat dan orang hilang, manakala beribu-ribu kubur baharu turut disediakan di tanah perkuburan Behesht-e Zahra, Tehran.
Seorang kakitangan perbandaran Tehran yang dikenali dengan nama samaran atas sebab keselamatan memberitahu WELT bahawa rakan sekerjanya di ibu pejabat krisis bandar itu turut mengesahkan persediaan tersebut.
“Kubur-kubur yang disediakan itu benar-benar wujud. Mereka yang bertanggungjawab diberitahu bahawa sehingga 3,000 kematian adalah dianggap boleh diterima. Dengan kehadiran orang ramai yang begitu besar serta cuaca panas melampau ini, tiada siapa dapat menjangka apa yang bakal berlaku,” katanya seperti dipetik laporan berkenaan.
Dakwaan tersebut masih belum disahkan secara bebas.
Perarakan Pengebumian Berlangsung Serentak Di Beberapa Negara
Majlis pengebumian Khamenei bermula di Tehran pada Sabtu dan dijangka diteruskan di Qom, kemudian ke bandar Najaf dan Karbala di Iraq, sebelum berakhir di Mashhad, di mana beliau dijadualkan dikebumikan pada Khamis.
WELT turut melaporkan pihak berkuasa merancang operasi keselamatan dan logistik berskala besar di Tehran, termasuk sekatan pergerakan, kemungkinan gangguan penerbangan, penggunaan ribuan bas, dapur sementara, serta penggunaan sekolah dan masjid bagi menempatkan peserta.
Laporan itu turut menyebut pegawai kerajaan menganggarkan sehingga 20 juta orang bakal hadir, satu angka yang sukar disahkan dan sering digunakan oleh pihak berkuasa Iran bagi menggambarkan majlis kenegaraan sebagai simbol sokongan rakyat yang besar.
Menurut WELT, Perbandaran Tehran yang diketuai Datuk Bandar berhaluan keras, Alireza Zakani memainkan peranan penting dalam persediaan tersebut, dengan mengerahkan 11,000 buah bas serta memastikan laluan metro dan pengangkutan rel pantas beroperasi tanpa henti.
Kakitangan perbandaran turut memberitahu akhbar itu bahawa setiap daerah di Tehran diperuntukkan kira-kira 500,000 hingga 650,000 euro bagi tiga hari majlis berkenaan, tidak termasuk peruntukan tambahan untuk agensi lain seperti jabatan bomba, badan taman, pihak berkuasa pengangkutan dan unit pembinaan.
Wartawan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan turut dipetik WELT menganggarkan bajet keseluruhan bagi Tehran sahaja mencecah 15 juta euro, dengan tambahan lima juta euro masing-masing untuk Qom dan Mashhad. Dengan majlis turut dirancang di Najaf dan Karbala, laporan itu menyatakan pengebumian ini berpotensi menjadi salah satu pengebumian kenegaraan paling mahal dalam sejarah moden.
Sejarah Kejadian Rempuhan Maut Ketika Pengebumian
Skala persediaan yang besar ini menimbulkan kebimbangan berikutan sejarah Iran yang pernah mencatatkan kejadian rempuhan maut ketika majlis pengebumian sebelum ini. Sekurang-kurangnya 56 orang terkorban dan lebih 200 lagi cedera ketika pengebumian komander IRGC, Qasem Soleimani di Kerman pada 2020, manakala pengebumian Ruhollah Khomeini pada 1989 turut menyaksikan kekecohan yang meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa dan mencederakan ratusan lagi.
WELT turut menggambarkan ketegangan politik yang mendalam sekitar majlis berkenaan, dengan menyatakan penyokong radikal Republik Islam menggunakan perhimpunan pada waktu malam bagi mengecam memorandum Amerika Syarikat-Iran serta mengugut pegawai kanan yang terlibat dalam rundingan, termasuk Menteri Luar, Abbas Araghchi dan Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf.
Sebahagian peserta turut menuntut peperangan diteruskan bagi membalas kematian Khamenei, manakala video yang tular di media sosial menunjukkan penceramah agama berhaluan keras menyampaikan ucapan bernada militan, dengan sebahagian peserta kelihatan membawa senjata api.
Pengebumian ini berlangsung ketika gencatan senjata yang masih rapuh serta di tengah kebimbangan orang ramai yang semakin meningkat berhubung kos majlis berkenaan, kesukaran ekonomi dan penggunaan sumber negara oleh kerajaan untuk tujuan pertunjukan politik.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.