
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim meminta pengundi di Johor memberi peluang kepada gabungan itu mentadbir negeri, memandangkan masih banyak masalah dan isu rakyat yang gagal diselesaikan sehingga kini.
Perdana Menteri berkata, Johor yang ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) masih mengetepikan kepentingan rakyat, termasuk isu harga rumah yang semakin mahal.
“Kerajaan Persekutuan kita jaga, kerajaan mereka (Johor) pun kita jaga. Projek pembangunan dah banyak di Johor, tetapi isu rakyat belum selesai.
“Saya tengok di Johor, pegawai kerajaan, polis dan tentera pun tiada rumah, sedangkan pembangunan naik berbilion ringgit.
“Rumah rakyat mahal, ini tugas kerajaan negeri tapi tak dibuat. Jadi saya kena masuk campur, minta kerajaan negeri bersama PH, kita boleh bangunkan rumah rakyat.
“Kita kena ada tadbir urus yang baik supaya Johor bertukar jadi lebih baik demi kepentingan rakyat. Anda dapat STR (Sumbangan Tunai Rahmah), SARA (Sumbangan Asas Rahmah), tapi kena beratur, kan?” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama PMX DUN Senggarang di sini, hari ini.
Turut hadir tiga calon PH bagi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Felicia Poh Rui Ling (Penggaram), Onn Abu Bakar (Senggarang) dan Mohamad Yazid Bakri (Rengit).
Seruan Bawa Perubahan Demi Rakyat Johor
Anwar yang juga Presiden PKR turut meminta semua pengundi di Johor bersedia membawa perubahan, memandangkan hanya dengan cara itu mampu memberi peluang kepada PH mentadbir negeri.
“Saya tak boleh ubah kalau tak diberi peluang, tapi saya boleh kerja kuat, boleh tolong rakyat, boleh henti orang curi duit. Sekarang yang curi pun diangkat jadi pemimpin.
“Ada saya ambil tanah? Ambil projek? Tidak. Kita mahu jaga Johor kerana negeri ini bukan miskin, negeri kaya tapi rakyatnya ramai yang miskin.
“Kita selesaikan masalah rakyat, lebuh raya kita selesaikan, tapi soal rumah rakyat, makan minum dan bantuan, patut kita bantu juga.
“Sebab itu saya kata negeri ini kena sama dengan Persekutuan, beri peluang kepada PH untuk mentadbir, kita bawa perubahan.
“Saya datang berkempen kerana saya percaya negeri ini boleh jadi lebih baik. Di Johor, kadang-kadang bukan sahaja rumah, malah rumah ibadat seperti masjid dan surau pun ada yang bermasalah.
“Jalan pula tanggungjawab negeri, yang tanggungjawab Persekutuan kita dah buat berpuluh-puluh bilion,” katanya.
Anwar berkata, oleh demikian rakyat perlu mengangkat pemimpin yang pandai dan berani bagi membolehkan Malaysia terus selamat serta harmoni dalam kalangan kaum di negara ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.