
Pembangunan Pulau Langkawi perlu dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa perlu meniru atau membandingkannya dengan destinasi pelancongan lain seperti Phuket, Thailand atau Bali, Indonesia.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, Pulau Langkawi merupakan aset strategik kepada negeri dan negara, selain berperanan sebagai destinasi pelancongan utama dan pemangkin pertumbuhan ekonomi Kedah.
“Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-84 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Sultan Kedah turut menegaskan baginda tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan melakukan sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mencemarkan imej serta reputasi Pulau Langkawi.
Kelewatan Projek RTB Dipandang Serius
Sementara itu, Sultan Sallehuddin turut memandang serius kelewatan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur strategik, termasuk Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit yang masih belum disiapkan sejak sekian lama.
Menurut baginda, kelewatan itu mengakibatkan kejadian banjir berulang yang turut menjejaskan penduduk di kawasan terlibat, sekali gus menyarankan agar tindakan segera diambil bagi memastikan rakyat tidak terus dibebani masalah yang sama.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, selain Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.