
Malaysia dijangka berdepan kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan menjelang 2030, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan sistem penjagaan kesihatan negara untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat akibat penuaan penduduk dan peningkatan penyakit kronik.
Lebih menggusarkan, pembangunan pesat infrastruktur kesihatan termasuk pembinaan hospital baharu dilihat tidak seiring dengan keupayaan negara melahirkan tenaga pakar serta mengekalkan jururawat berpengalaman yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan.
Penganalisis BIMB Securities Research, Maliana Shaharudin berkata, cabaran utama sektor kesihatan ketika ini bukan berpunca daripada kekurangan graduan perubatan, sebaliknya kekurangan pakar perubatan serta kesukaran mengekalkan tenaga kerja mahir.
“Masalah Malaysia bukanlah kekurangan graduan perubatan, tetapi kekurangan pakar dan cabaran mengekalkan jururawat berpengalaman memandangkan katil hospital boleh dibina lebih pantas daripada bakat dapat dibangunkan,” katanya dalam nota penyelidikan Healthcare 2H26 Sector Outlook.
Jurang lebih 13,000 pakar perlu diisi
Mengulas lanjut, Maliana berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan negara memerlukan seramai 22,435 pakar perubatan menjelang 2030, namun ketika ini hanya sekitar 9,040 pakar sedang berkhidmat, sekali gus menunjukkan jurang melebihi 13,000 pakar yang perlu diisi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Beliau berkata, walaupun Malaysia hampir mencapai sasaran nisbah seorang doktor bagi setiap 400 penduduk, saluran latihan pakar masih jauh ketinggalan berbanding peningkatan permintaan terhadap rawatan yang semakin kompleks.
Katanya, kapasiti latihan semasa yang hanya mampu melahirkan sekitar 1,000 hingga 1,400 pakar setiap tahun masih belum mencukupi untuk menampung keperluan sistem kesihatan negara pada masa depan.
Usaha mengekalkan jururawat berpengalaman turut menjadi semakin sukar berikutan persaingan tawaran pekerjaan dari luar negara, selain persaingan mendapatkan tenaga kerja antara hospital kerajaan dan swasta.
“Persaingan mendapatkan bakat antara sektor awam dan swasta serta peluang kerjaya di luar negara terus memberi tekanan kepada usaha mengekalkan tenaga kerja kesihatan yang berpengalaman,” katanya.
Cabaran turut melanda sektor farmaseutikal
Selain hospital, Maliana berkata, sektor farmaseutikal turut berdepan cabaran kekurangan tenaga mahir khususnya dalam bidang pembuatan, kawal selia, jaminan kualiti serta kepakaran biofarmaseutikal ketika industri berkembang ke arah pengeluaran insulin, vaksin dan produk bernilai tinggi.
Beliau berkata, kekangan sumber manusia itu muncul ketika sektor kesihatan negara memasuki fasa pertumbuhan baharu yang dipacu faktor struktur seperti penuaan penduduk, peningkatan pelancongan kesihatan dan permintaan terhadap rawatan pakar yang lebih kompleks.
Sehubungan itu, beliau berkata, pembangunan modal insan kesihatan perlu diberi keutamaan setanding dengan pelaburan dalam pembinaan hospital dan kemudahan fizikal bagi memastikan kapasiti perkhidmatan kesihatan negara dapat berkembang secara mampan.
“Tanpa strategi pembangunan bakat yang lebih menyeluruh dan berterusan, risiko kekurangan pakar serta tenaga kerja mahir dijangka terus menjadi antara cabaran terbesar yang boleh menjejaskan kecekapan sistem penjagaan kesihatan Malaysia pada masa depan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.