
Sokongan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kepada Barisan Nasional (BN) di Johor boleh menjadi pedang dua mata, dengan penganalisis melihatnya sebagai bantuan penting untuk menarik undi Melayu, tetapi pada masa sama berisiko mencetuskan persoalan terhadap imej negeri itu sebagai hab pelaburan terbuka.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, kesan politik sokongan itu tidak boleh dilihat dari sudut pilihan raya semata-mata kerana Johor kini berada dalam fasa penting menarik pelaburan besar melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, pusat data, RTS Link dan Forest City Special Financial Zone.
Penganalisis dari Global Asia Consulting itu berpandangan, laporan Bloomberg yang mengaitkan kebimbangan komuniti perniagaan terhadap peningkatan pengaruh PAS wajar diberi perhatian, terutama bagi negeri yang bergantung kepada keyakinan pelabur, kestabilan dasar dan hubungan ekonomi rapat dengan Singapura.
Kelebihan jangka pendek, risiko jangka panjang
Katanya, arahan PAS supaya ahli dan penyokongnya membantu BN di kerusi Johor yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) mungkin memberi kelebihan jangka pendek dari segi undi Melayu.
“Tetapi pelabur asing yang membawa bilion ringgit tidak melihat warna parti semata-mata. Mereka melihat kestabilan dasar, keterbukaan budaya dan kepantasan birokrasi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, isu sebenar bukan sekadar sama ada PAS akan berada dalam kerajaan negeri, tetapi sama ada Johor masih dilihat sebagai pintu masuk pelaburan yang pragmatik, terbuka dan stabil.
“Menerima sokongan politik PAS untuk menang pilihan raya adalah taktik jangka pendek yang berisiko mengorbankan strategi ekonomi jangka panjang,” katanya.
Zaharuddin turut berkata, perkembangan itu membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menampilkan diri sebagai pilihan lebih meyakinkan di kawasan bandar, separa bandar dan kerusi campuran, terutama dalam kalangan pengundi yang mengutamakan kestabilan pasaran dan keterbukaan sosial.
Kelmarin, Bloomberg melaporkan komuniti perniagaan semakin berhati-hati terhadap peningkatan pengaruh PAS, ketika parti Islam itu dilihat semakin kukuh dalam politik nasional dan berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam pembentukan kerajaan pada masa depan.
Menurut laporan itu, kebimbangan pelabur bukan hanya tertumpu kepada kekuatan pilihan raya PAS, tetapi juga kemungkinan perubahan nada dasar sekiranya parti itu mempunyai pengaruh lebih besar dalam pentadbiran, terutama membabitkan keterbukaan ekonomi, dasar sosial dan persekitaran perniagaan.
Kebimbangan mungkin dibesar-besarkan
Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata kebimbangan bahawa PAS akan menentukan hala tuju kerajaan Johor sekiranya BN menang mungkin dibesar-besarkan.
Beliau berkata, sokongan PAS lebih wajar dilihat sebagai kerjasama pilihan raya untuk mengelakkan undi Melayu berpecah, bukan petunjuk bahawa parti itu akan diberi peranan rasmi dalam pentadbiran negeri.
“PAS kata akan memberi pertolongan dari segi undi tapi hakikatnya yang akan menjadi tunjang kerajaan negeri adalah Umno,” katanya.
“Saya yakin walaupun Umno dikatakan mampu mendapatkan lebih daripada 40 kerusi, ia tidak akan memanggil PAS untuk menyertai kerajaan negeri sebagai penghargaan,” katanya.
Azmi turut berkata, pengalaman PAS dalam kerajaan persekutuan sebelum ini menunjukkan kehadiran parti itu dalam pentadbiran tidak semestinya membawa perubahan dasar secara menyeluruh.
“Kalau kita ambil sejarah PAS dalam kerajaan persekutuan, walaupun diberi dua tiga jawatan menteri, ia tidak mendatangkan apa-apa perubahan dari segi dasar secara holistik kerajaan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.