
Norway mencipta kejutan pada kempen Piala Dunia 2026 apabila menyingkirkan juara dunia lima kali, Brazil 2-1 dalam aksi pusingan 16 terbaik di Stadium New York New Jersey, baru-baru ini.
Penyerang sensasi, Erling Haaland muncul wira Norway apabila meledak dua gol pada penghujung babak kedua untuk memastikan skuad kendalian Stale Solbakken mara ke suku akhir.
Selepas kedua-dua pasukan buntu sepanjang 78 minit, Haaland memecah kebuntuan menerusi tandukan hasil hantaran Andreas Schjelderup pada minit ke-79. Penyerang Manchester City itu kemudian menggandakan kelebihan Norway pada minit ke-90 menerusi rembatan rendah selepas Schjelderup melorongkan hantaran kepadanya.
Brazil hanya mampu merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Neymar pada masa kecederaan, namun jaringan itu hadir terlalu lewat untuk mengelakkan mereka daripada tersingkir. Lebih mengecewakan Brazil apabila Bruno Guimaraes gagal menyempurnakan sepakan penalti seawal minit ke-13, selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan Kristoffer Ajer mengasari Matheus Cunha di dalam kotak penalti.
Haaland kini mengumpul tujuh gol pada kejohanan ini, sekali gus menyamai rekod Lionel Messi dan Kylian Mbappe sebagai penjaring terbanyak setakat ini. Norway dijadual menentang pemenang aksi antara Mexico dan England pada saingan suku akhir nanti.
Neymar bayang mungkin tamat perjalanan bersama Brazil
Neymar memberi bayangan dia mungkin mengharungi perlawanan terakhir bersama Brazil selepas menjaringkan gol ketika tewas 1-2 kepada Norway pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia, pagi tadi.
Penyerang berusia 34 tahun itu menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan, namun jaringan tersebut gagal mengelakkan Brazil daripada tersingkir, sekali gus meneruskan penantian juara dunia lima kali itu untuk merangkul gelaran keenam.
Bercakap ringkas kepada penganalisis saluran televisyen Brazil, ge tv, Bruno Formiga, selepas perlawanan, Neymar memberi bayangan bahawa perjalanan kariernya bersama skuad Selecao sudah berakhir.
“Saya sudah mencuba, saya sudah mencuba. Kini semuanya sudah berakhir. Saya bermula di sini, dan saya juga mengakhirinya di sini,” kata Neymar, merujuk kepada stadium di New Jersey, lokasi beliau membuat penampilan sulung bersama Brazil dalam aksi persahabatan menentang Amerika Syarikat pada 2010.
Neymar dilihat tidak dapat menahan sebak selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Brazil mencatat prestasi terburuk di Piala Dunia sejak 1990.
Brazil hadapi tempoh kemarau kejuaraan dunia paling panjang
Kegagalan itu turut menyebabkan Brazil kini berdepan tempoh kemarau kejuaraan dunia paling panjang sejak kali pertama menjulang trofi berkenaan. Menjelang Piala Dunia 2030, Selecao akan genap 28 tahun tanpa meraih gelaran dunia.
Sekiranya Neymar mengesahkan persaraan di pentas antarabangsa, dia akan menamatkan karier bersama Brazil dengan rekod 80 gol dan 58 bantuan jaringan dalam 130 penampilan.
Walaupun memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat kelab, satu-satunya trofi utama Neymar bersama skuad senior Brazil ialah Piala Konfederasi FIFA 2013.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.