
Adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menuduh Jepun sedang berubah menjadi “negara perang”, susulan langkah Tokyo memperkukuh keupayaan ketenteraannya di rantau Pasifik.
Dalam kenyataan yang disiarkan media rasmi Korea Utara, Kim Yo Jong berkata kepimpinan Pyongyang akan mempertimbangkan pilihan ketenteraan tambahan sebagai tindak balas terhadap perubahan pendirian pertahanan Jepun.
“Jepun, sebuah negara penjenayah perang, sedang mempercepat transformasinya menjadi sebuah negara perang,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Tomahawk dan latihan bersama AS jadi punca kecaman
Kim turut merujuk kepada pelancaran peluru berpandu jarak jauh Tomahawk oleh Jepun. Beliau juga menyentuh penyertaan negara itu dalam latihan ketenteraan pimpinan Amerika Syarikat (AS) di Filipina pada Mei lalu.
Bagi beliau, kedua-dua perkara ini menunjukkan sokongan Washington terhadap apa yang disifatkannya sebagai langkah ketenteraan berbahaya di rantau Pasifik.
Menurut Kim, Tokyo sedang berusaha membangunkan keupayaan melancarkan serangan awal. Dan Korea Utara, katanya, tidak akan sekadar berdiam diri melihat perkembangan ketenteraan Jepun yang boleh mengancam keselamatannya.
Jepun terus tinggalkan dasar pasifis
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Jepun secara beransur-ansur menjauhkan diri daripada dasar pasifis yang diamalkan sejak selepas Perang Dunia Kedua.
Negara itu meningkatkan perbelanjaan pertahanan, memperkukuh kerjasama keselamatan dengan sekutu, dan turut menempatkan pelancar peluru berpandu di pulau-pulau terpencilnya.
Menteri Pertahanan Jepun pada Selasa berkata keupayaan ketenteraan negara itu perlu diperkukuhkan dengan rasa mendesak dan kesedaran terhadap krisis. Ini susulan laporan penilaian kerajaan yang memberi amaran mengenai peningkatan ancaman daripada China, Rusia dan Korea Utara.
Perbelanjaan ketenteraan Jepun turut meningkat 9.7 peratus kepada AS$62.2 bilion pada 2025, bersamaan 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini merupakan kadar tertinggi sejak 1958.
Pyongyang sendiri berulang kali mengisytiharkan dirinya sebagai sebuah negara kuasa nuklear yang “tidak boleh dipatahkan”. Pendirian ini kekal sejak sidang kemuncak antara Kim Jong Un dengan Presiden AS, Donald Trump pada 2019 gagal mencapai persetujuan berhubung pelucutan senjata nuklear serta pelonggaran sekatan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.