
Sokongan kuat daripada sesuatu komuniti tidak semestinya membuktikan Pakatan Harapan (PH) menggunakan politik perkauman untuk meraih undi. Itu pandangan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.
Wakil rakyat DAP itu menolak pandangan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming yang sebelum ini menyatakan PH turut mendapat manfaat secara tidak langsung daripada politik identiti.
“Mengatakan PH mendapat manfaat daripada politik perkauman ibarat mengatakan kebotakan itu satu gaya rambut,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ia mencampuradukkan hasil politik dengan strategi politik yang disengajakan,” tambahnya.
Ong sebut PH juga pernah untung naratif kaum
Ong, yang juga dari DAP, sebelum ini berkata dalam program audiosiar Keluar Sekejap bahawa PH juga pernah mendapat manfaat daripada naratif kaum dalam pilihan raya lepas.
Justeru, katanya, PH tidak wajar menyalahkan politik identiti pihak lawan semata-mata atas kekalahan dalam PRN Negeri Sembilan.
Menurut Ong, PH sebelum ini turut menyeru pengundi bukan Melayu supaya bersatu. Ini, katanya, tidak jauh berbeza dengan seruan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menggesa orang Melayu memberikan sokongan kepada mereka.
Chong bagaimanapun mendakwa Ong mewujudkan perbandingan yang tidak tepat. Menurutnya, kempen berteraskan rakyat Malaysia yang dibawa PH tidak sama dengan mobilisasi berasaskan kaum secara terbuka oleh BN dan PN.
“Kami tak pernah kata kaum lain ancaman”
Chong menegaskan PH tidak pernah menyeru satu kaum bersatu menentang kaum lain, apatah lagi menggambarkan mana-mana komuniti sebagai ancaman.
“Kami tidak pernah memberitahu pengundi Cina bahawa kepentingan mereka hanya boleh dilindungi dengan mengalahkan orang Melayu. Kami juga tidak pernah memberitahu pengundi India bahawa mana-mana kaum lain ancaman kepada mereka,” katanya.
Mesej utama PH selama ini, jelasnya, adalah supaya rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, bersatu mempertahankan tadbir urus yang baik, kesederhanaan, keadilan ekonomi dan institusi demokrasi.
Beliau turut menegaskan sokongan kuat daripada sesuatu komuniti tidak secara automatik menjadikan kempen sesebuah parti itu bersifat perkauman. Yang penting, katanya, ialah bagaimana sokongan itu diperoleh dan mesej yang digunakan untuk menggerakkan pengundi.
Sebaliknya, kata Chong, BN-PN berulang kali menggunakan DAP sebagai sasaran, ancaman dan bahan belasahan politik untuk menakutkan pengundi Melayu.
“DAP dipersalahkan dalam pelbagai isu, manakala pengundi Melayu digesa menyatukan kuasa politik mereka bagi melindungi hak dan kepentingan daripada musuh yang dibayangkan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.