
Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani hari ini menjelaskan bahawa tidak ada mesyuarat Kabinet dijadualkan pada Selasa ini, sekali gus berbeza dengan kenyataan awal Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang menyebut perdana menteri akan memberi taklimat pada hari tersebut.
Bercakap kepada media selepas merasmikan Malaysian Wood Expo 2025, Johari menegaskan soal pelantikan atau rombakan Kabinet adalah hak prerogatif mutlak Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya rasa tidak. Kalau soal rombakan, itu hak perdana menteri. Beliau ada kuasa penuh untuk buat apa yang beliau mahu.
“Bagi Kabinet, tiada mesyuarat. Beliau tidak bincang pun tentang itu,” katanya.
Sebelum ini, Mohamad Sabu berkata beliau hanya mengetahui tentang peletakan jawatan Ewon Benedick melalui media dan menambah “Selasa ini ada mesyuarat Kabinet dan kita akan dengar taklimat perdana menteri”, termasuk berkaitan rombakan.
Percanggahan kenyataan itu menimbulkan persoalan sama ada penjelasan mengenai rombakan dan peletakan jawatan Ewon akan dibuat dalam bentuk lain atau pada masa berlainan.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata Barisan Nasional telah memuktamadkan hampir semua calon bagi Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang, dan hanya lima atau enam nama masih belum disahkan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.