
Tindakan menarik balik sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin memberi sedikit kelebihan kepada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM). Namun begitu, penganalisis menyifatkannya sebagai satu langkah yang berisiko bagi parti tersebut.
Parti itu mungkin akan mendapat kebebasan untuk menentukan kerusi yang ingin ditandingi pada pilihan raya akan datang. Cuma, KDM dijangka turut kehilangan pelbagai manfaat yang selama ini dinikmati sebagai rakan kongsi dalam kerajaan.
Lee Kuok Tiung dan Syahruddin Awang Ahmad daripada Universiti Malaysia Sabah berpendapat, KDM sebenarnya mempunyai pengaruh politik yang agak terhad, memandangkan parti itu hanya memiliki dua kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN sahaja.
Menjelang PRU16, kata mereka, parti tersebut tidak mempunyai banyak kuasa tawar-menawar sekiranya terus kekal menyokong GRS.
Peluang bertanding makin sempit
Menurut Lee, kesemua enam parti komponen GRS akan bersaing merebut 25 kerusi Parlimen di Sabah pada PRU16. Beliau menjangkakan persaingan bakal menjadi sengit, terutamanya di kawasan majoriti Kadazandusun Murut yang turut menjadi sasaran KDM.
“Peluang untuk KDM diketepikan adalah tinggi, memandangkan sejak awal lagi parti itu bukan anggota gabungan berkenaan,” katanya kepada FMT.
Lee turut berkata, walaupun KDM menyatakan sokongan kepada kerajaan Sabah pimpinan GRS selepas PRN17, parti itu tetap berada di kedudukan terbawah dalam senarai keutamaan pembahagian kerusi.
“Jika KDM terus setia kepada GRS, mereka perlu terima hakikat bahawa parti komponen akan diberi keutamaan memilih kerusi. Dalam situasi itu, KDM berkemungkinan besar terlepas peluang bertanding di Tenom.
“Malah, kerusi seperti Kota Marudu, Kudat, Tuaran dan Keningau pastinya turut dituntut oleh parti komponen GRS,” tambahnya.
KDM ketika ini menyandang kerusi Parlimen Kota Marudu dan Tenom, masing-masing menerusi Timbalan Presidennya, Wetrom Bahanda, serta Riduan Rubin. Namun, timbul spekulasi mengaitkan Wetrom dengan perpindahan ke Barisan Nasional, manakala Riduan pula sebenarnya memenangi kerusinya atas tiket bebas pada PRU 2022.
Rusdin ingkar keputusan parti
Pada Sabtu lalu, KDM mengumumkan penarikan balik sokongannya terhadap kerajaan Sabah, susulan pengesahan rundingan membentuk kerjasama bersama Warisan dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bagi menghadapi PRU16.
Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, satu-satunya Adun KDM iaitu Rusdin Riman memilih untuk terus menyokong kerajaan negeri, bercanggah dengan keputusan partinya sendiri.
KDM kini diterajui oleh Priscella Peter, anak kepada presiden pengasasnya yang juga bekas naib presiden Warisan, Peter Anthony. Peter kini berada di bawah parol selepas menjalani setahun daripada hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan memalsukan dokumen.
Langkah yang mungkin memakan diri
Syahruddin menjangkakan keputusan KDM itu akan memakan diri, kerana menurutnya, ia bakal melucutkan naungan kerajaan negeri, sumber, serta kuasa pentadbiran yang bernilai daripada parti berkenaan.
Beliau berkata, sebahagian besar pemain politik utama di Sabah akan melihat KDM sebagai rakan kerdil yang menuntut habuan tidak setimpal dengan jumlah kerusi yang dimenanginya.
“Apabila Rusdin ingkar ketetapan parti dan kekalkan hubungan dengan kerajaan negeri, maruah KDM jatuh, dan parti itu berdepan pergeseran dalaman yang teruk serta peminggiran politik sepenuhnya,” katanya.
Syahruddin menjangkakan KDM akhirnya akan mengambil langkah selamat, iaitu membentuk pakatan pelbagai parti bagi menghadapi PRU16, demi memaksimumkan peluang kemenangan. Selepas itu, katanya, parti itu berkemungkinan akan menyokong mana-mana gabungan yang berjaya membentuk kerajaan persekutuan.
“Perjanjian pembahagian kerusi pelbagai parti masih jadi satu-satunya mekanisme kelangsungan hidup yang berdaya maju untuk mereka,” tambahnya.
Menurut Lee pula, pakatan bersama Warisan dan STAR itu tidak mengikat mahupun bersifat eksklusif. Ini bermakna KDM masih bebas untuk meneroka percaturan pilihan raya lain sebelum PRU16 tiba.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan KDM bahawa corak pengundian bagi kerusi DUN dan Parlimen sering kali menunjukkan keputusan yang berbeza. Menurutnya, rakyat Sabah lazimnya cenderung menyokong parti tempatan pada PRN, tetapi memilih parti nasional pula pada PRU.
“Kini KDM telah kehilangan akses kepada peruntukan serta pengaruh kerajaan negeri, di samping berdepan risiko terpaksa bertanding solo jika rundingan bersama parti-parti lain temui jalan buntu,” kata Lee.
“Beberapa pemimpin utama KDM juga berkemungkinan besar akan ambil pendirian yang mengutamakan kestabilan politik Sabah,” tambahnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.