
Rumah Ahli Parlimen Parti Demokratik Nasional (NasDem), Ahmad Sahroni semalam dirompak perusuh, dengan pelbagai barangan mewah termasuk patung Spiderman, sofa, pakaian serta beg berjenama dibawa keluar.
Portal berita Kompas melaporkan, kumpulan perusuh memecahkan pagar dan tingkap untuk menceroboh masuk. Saksi melihat orang ramai membawa keluar barangan berjenama, termasuk seorang wanita dengan beg Chanel berkata kepada wartawan: “Kalau ambil gambar, jangan rakam muka orang.”
Seorang perusuh mendakwa barangan itu dibeli menggunakan wang rakyat, malah menuduh rumah tersebut mungkin turut dibina dengan dana awam.
Kediaman Sahroni yang terletak di lorong sempit dibanjiri ribuan orang, menyebabkan kesesakan teruk. Sebuah kereta di garaj rosak teruk dengan cermin pecah dan rangka kemek.
Sekitar jam 6 petang, perusuh menarik keluar sebuah kereta antik dipercayai koleksi Sahroni dan merosakkannya. Polis tentera tiba 30 minit kemudian untuk mengawal keadaan serta menghalau media.
Lokasi Sahroni masih tidak diketahui, dan sehingga kini polis mahupun beliau belum mengeluarkan kenyataan atau mengesahkan jumlah kerugian.
Protes bermula di Jakarta awal minggu ini berhubung elaun Ahli Parlimen, dan memuncak Jumaat lalu selepas seorang penunggang e-hailing maut dilanggar kenderaan polis.
Pada 22 Ogos, Sahroni mencetuskan kemarahan awam apabila melabel rakyat yang menuntut pembubaran Parlimen sebagai “orang paling bodoh di dunia” ketika isu elaun perumahan Ahli Parlimen sedang hangat diperdebatkan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.