
Kerajaan Negeri Kelantan mempersoalkan bagaimana perjanjian bernilai berbillion ringgit melibatkan unsur nadir bumi (REE/NREE) dengan Amerika Syarikat dapat dimeterai tanpa pandangan kerajaan negeri.
Timbalan Menteri Besar, Mohamed Fadzli Hassan, berkata keadaan itu menyimpang daripada semangat federalisme dan menafikan hak negeri yang dijamin Perlembagaan.
Beliau memaklumkan Kelantan memiliki simpanan NREE kedua terbesar selepas Terengganu, bernilai ratusan bilion ringgit. Berbeza dengan petroleum di perairan, NREE berada di daratan dan “sepenuhnya di bawah bidang kuasa negeri”.
Menurutnya, ramai pelabur luar mahu melombong dan membeli NREE untuk diproses di luar negara, namun Kelantan menolak pendekatan tersebut.
“Dasar kita jelas: REE mesti diproses—jika tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya semaksimum mungkin—di Kelantan, bukan digali dan dieksport mentah. Pemprosesan tempatan akan gandakan nilai, memacu industri huluan dan hiliran serta membuka peluang kerja berkemahiran tinggi.”
Beliau berkata perjanjian Malaysia–AS dilaporkan menetapkan “tiada sekatan atau kuota” eksport REE ke AS, sekali gus menimbulkan persoalan besar.
“Jika Kelantan menapis pelabur atau mengehadkan eksport bahan mentah bagi menjamin nilai tambah tempatan, adakah langkah itu dianggap melanggar komitmen antarabangsa di peringkat Persekutuan?” beliau bertanya.
“Adakah negeri masih bebas menentukan dasar sendiri, atau semuanya kini terikat kepada janji Persekutuan kepada AS? Ini bukan soal politik, ini soal kedaulatan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau menegaskan Kelantan tidak menolak pelaburan luar, namun ia mesti disertai penghormatan kepada kedaulatan negeri—“bukan menyerahkan hak atas nama diplomasi”.
Katanya, walaupun perjanjian antarabangsa di bawah kuasa Persekutuan, sumber dan ‘subject matter’ adalah hak negeri. “Negeri pengeluar berhak tahu dan berhak bersuara.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.