
Hampir 38 peratus responden dalam tinjauan terbaru NIDA Poll percaya bahawa kerajaan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul tidak akan mampu bertahan menghadapi pelbagai cabaran politik dan ekonomi yang membelenggu negara itu ketika ini.
Dakwaan rasuah dalam proses pengambilan kakitangan kerajaan tempatan dikenal pasti sebagai ancaman terbesar kepada kestabilan pentadbiran tersebut.
Tinjauan bertajuk “So Many Problems, Will It Survive?” itu dikeluarkan oleh National Institute of Development Administration pada hari Ahad. Ia dijalankan antara 18 hingga 20 Ogos, melibatkan 1,310 responden berusia 18 tahun ke atas di seluruh Thailand.
Apabila ditanya isu yang berpotensi menjejaskan kestabilan kerajaan Anutin, 62.75 peratus responden memilih dakwaan rasuah dalam peperiksaan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam tempatan sebagai kebimbangan utama mereka.
Seramai 55.88 peratus pula menyentuh dakwaan kongkolikong dalam pemilihan Senat, manakala 42.29 peratus membangkitkan isu pemantauan ahli parlimen terhadap pertikaian tanah Khao Kradong.
Kebimbangan lain termasuk ketidakstabilan harga tenaga yang disebut oleh 37.33 peratus responden, konflik Thailand-Kemboja pada 33.36 peratus, serta rancangan kerajaan membelanjakan dana di bawah dekri pinjaman bernilai 400 bilion baht yang disebut oleh 28.78 peratus.
Turut disenaraikan ialah turun naik harga komoditi pertanian pada kadar 28.17 peratus. Sekatan pemilikan senjata api pula disebut oleh 25.27 peratus responden, manakala syarat kelayakan yang lebih ketat untuk program kad kebajikan negara 2026 dibangkitkan oleh 24.27 peratus.
Selain itu, 22.98 peratus menyebut aktiviti tidak sah oleh warga asing di Thailand sebagai punca kebimbangan, sementara 18.17 peratus menyentuh isu pemantauan projek TH-AI Passport di bawah Kementerian Ekonomi dan Masyarakat Digital.
Hanya 5.34 peratus responden berpendapat tiada satu pun isu tersebut cukup serius untuk mengancam kestabilan kerajaan.
Majoriti responden ragu kerajaan mampu tangani semua cabaran
Ditanya sejauh mana kerajaan mampu menangani cabaran-cabaran ini, 39.69 peratus responden percaya kerajaan hanya mampu menyelesaikan sebahagian isu sahaja. Sebaliknya, 31.99 peratus pula berpendapat kerajaan langsung tidak berupaya menanganinya.
Sementara itu, 16.26 peratus yakin kerajaan mampu menangani kesemua isu yang dibangkitkan, manakala 11.68 peratus berpendapat kerajaan boleh mengatasi kebanyakan isu tersebut. Hanya 0.38 peratus responden tidak pasti atau enggan memberi jawapan.
Berhubung persoalan sama ada kerajaan itu sendiri akan terus bertahan, kumpulan terbesar iaitu 37.86 peratus responden menyatakan kerajaan itu “pasti tidak akan bertahan.”
Seramai 26.03 peratus pula percaya kerajaan akan bertahan tetapi dalam keadaan lemah, manakala 17.94 peratus berpendapat ia akan bertahan dengan kerosakan yang minimum. Selebihnya, 17.71 peratus yakin kerajaan akan bertahan dengan selesa, sementara 0.46 peratus tidak menjawab.
Tinjauan turut sentuh insiden Anutin sembah Thaksin
Tinjauan itu turut menyoal responden mengenai tindakan Anutin yang membongkok dan memberi hormat di pangkuan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra baru-baru ini.
Kumpulan terbesar, iaitu 41.45 peratus, melihat perbuatan itu sekadar tanda hormat generasi muda terhadap yang lebih berusia. Namun, 29.62 peratus pula menganggapnya sebagai lakonan politik semata-mata.
Seramai 21.60 peratus responden berpendapat insiden itu membuktikan tiada kawan mahupun musuh abadi dalam politik, manakala 17.48 peratus percaya Anutin sebenarnya sedang mencari sokongan Thaksin.
Ada juga yang melihatnya sebagai bukti pengaruh politik Thaksin yang masih kukuh, iaitu sebanyak 12.21 peratus. Sementara itu, 9.62 peratus menganggap ia isyarat bahawa Parti Pheu Thai akan terus menyokong Anutin.
Di samping itu, 9.31 peratus responden menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan Anutin itu, berbanding hanya 4.73 peratus yang menyokongnya. Baki 3.82 peratus enggan memberi pendapat atau tidak berminat mengulasnya.
Tinjauan ini dijalankan melalui temu bual telefon dan kaedah persampelan kebarangkalian pelbagai peringkat daripada pangkalan data induk NIDA Poll. NIDA menyatakan tinjauan ini mempunyai ralat maksimum 0.05 pada tahap keyakinan 97 peratus.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.