
Malaysia mencatatkan lebih 21 juta ketibaan pelawat antarabangsa sepanjang separuh pertama 2026, meningkat 2.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. Cuma, angka ini datang dengan satu cabaran besar, iaitu 4,111 penerbangan berjadual ke negara ini terpaksa dibatalkan akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berkata, data daripada Tourism Malaysia dan Jabatan Imigresen menunjukkan sebanyak 21,118,039 ketibaan direkodkan antara Januari hingga Jun tahun ini. Jumlah itu meningkat 514,958 berbanding 20,603,081 ketibaan yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Namun begitu, beliau mengakui kadar pertumbuhan ini sebenarnya yang paling perlahan bagi tempoh sama sejak sektor pelancongan mula pulih selepas wabak. Malah, 26 daripada 50 pasaran sumber utama negara turut mencatatkan penurunan ketibaan.
“Ini terutamanya disebabkan oleh kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap operasi penerbangan antarabangsa, yang seterusnya menjejaskan pasaran perjalanan ke luar negara di seluruh dunia,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Laporan Prestasi Separuh Pertama 2026.
Eropah dan Asia Barat paling terjejas
Menurut Tiong, Eropah dan Asia Barat antara pasaran yang paling terkesan akibat situasi ini. Perancis menjadi satu-satunya negara daripada tiga pasaran utama Eropah yang masih mencatatkan pertumbuhan positif, sementara ketibaan dari Britain dan Jerman pula menurun.
Malah, Jerman merekodkan pertumbuhan negatif buat kali pertama sejak pasaran pelancongan mula pulih pasca wabak, satu petanda yang agak membimbangkan bagi Motac.
Di sisi lain, ketibaan dari Turki, Rusia, Sepanyol dan Poland pula meningkat. Sementara itu, pasaran seperti Belanda, Itali, Belgium, Arab Saudi, Oman dan Mesir turut terjejas pada tahap yang berbeza-beza.
“Konflik itu turut menyebabkan kenaikan harga bahan api antarabangsa, meningkatkan kos perjalanan ke luar negara dan menjejaskan perjalanan dari wilayah lain, termasuk India di Asia Selatan serta Taiwan dan Korea Selatan di Asia Timur Laut,” jelas Tiong.
Untungnya, pertumbuhan berterusan dari Singapura, Filipina, China, Asia Tengah, Oceania dan Amerika Utara membantu Malaysia mengekalkan peningkatan keseluruhan sebanyak 2.5 peratus itu.
Ribuan penerbangan dibatalkan, kapasiti tempat duduk merosot
Tiong berkata, Malaysia menerima 88,058 penerbangan antarabangsa sepanjang enam bulan pertama tahun ini, berbanding 91,486 penerbangan yang dijadualkan pada asalnya.
Sebanyak 4,111 penerbangan dibatalkan akibat ketegangan geopolitik. Tapi dengan penambahan 683 penerbangan baharu, jumlah keseluruhan pembatalan bersih hanya 3,428 penerbangan, atau 3.7 peratus lebih rendah daripada jadual asal.
“Kesan konflik di Asia Barat jelas tergambar dalam operasi penerbangan. Sejak konflik bermula pada Februari, bilangan penerbangan berjadual yang dibatalkan setiap bulan terus meningkat,” katanya.
Beliau berkata, sembilan penerbangan dibatalkan pada Februari, sebelum melonjak kepada lebih 300 pada Mac, hampir 1,000 pada April dan 1,419 pada Jun sahaja.
Ekoran itu, kapasiti tempat duduk sebenar hanya berjumlah kira-kira 17.63 juta, iaitu 3.9 peratus lebih rendah daripada unjuran awal sebanyak 18.34 juta. Walaupun begitu, angka itu masih meningkat 6 peratus, atau lebih sejuta tempat duduk berbanding 16.627 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
“Jaringan penerbangan antarabangsa negara terus berkembang dengan pengenalan 23 laluan baharu, 12 perkhidmatan penerbangan baharu ke Malaysia dan sembilan perkhidmatan sewa khas antara Januari hingga Julai,” tambah Tiong.
Penerbangan dari Asia Timur Laut mencatatkan pertambahan kapasiti terbesar, iaitu lebih 500,000 tempat duduk atau 11.9 peratus, diikuti negara Asean sebanyak 376,423 tempat duduk atau 4.5 peratus.
“Penurunan paling ketara dilihat pada penerbangan dari Asia Barat apabila kapasiti tempat duduk merosot daripada lebih satu juta pada enam bulan pertama tahun lepas kepada 806,532 pada separuh pertama tahun ini.
“Ini termasuk penerbangan dari Eropah yang menggunakan Asia Barat sebagai hab transit, dengan kapasiti tempat duduk merosot lebih 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya lagi.
Motac perkukuh strategi pasaran Asia
Tiong turut mengakui kesan pembatalan penerbangan ini tergambar jelas dalam pertumbuhan ketibaan pelawat antarabangsa ke Malaysia yang menjadi lebih perlahan.
Justeru, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini memperkukuh strategi pemasaran di pasaran Asia, khususnya Asia Tenggara dan Asia Timur Laut, sebagai tindak balas kepada perubahan landskap global semasa.
Sebagai langkah tambahan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan industri pelancongan negara, Tahun Melawat Malaysia turut dilanjutkan sehingga 2027.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.