
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa Iran pernah cuba membunuh salah seorang anak lelakinya. Namun begitu, beliau tidak mendedahkan bila rancangan itu didakwa berlaku, anak mana yang menjadi sasaran, atau sejauh mana percubaan tersebut hampir dilaksanakan.
Dakwaan ini disuarakan Netanyahu pada Isnin, ketika ketegangan antara Israel dan Iran terus memuncak susulan perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran yang bermula sejak Februari lalu.
Netanyahu, yang gabungan pemerintahannya kini ketinggalan dalam tinjauan pendapat menjelang pilihan raya umum Israel pada 27 Oktober ini, membuat dakwaan tersebut semasa wawancara telefon bersama saluran televisyen Channel 14.
Beliau turut mengulas laporan media yang menyebut sebuah agensi keselamatan Israel enggan menyediakan perlindungan keselamatan kepada seorang pesaing politiknya menjelang pilihan raya berkenaan.
“Berkaitan anak-anak saya, ada sesuatu yang sukar dipercayai. Ya, Iran menyasarkan salah seorang anak saya. Iran cuba membunuh anak saya,” dakwa Netanyahu kepada saluran konservatif itu, yang memang dikenali kerana liputannya yang agak mesra kerajaan.
“Iran cuba membunuh salah seorang anak saya. Oleh itu, perlindungan keselamatan ini bukan satu kemewahan,” katanya lagi, tanpa memberikan sebarang perincian lanjut mengenai dakwaan tersebut.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan anak mana sebenarnya yang dimaksudkan Netanyahu. Anak sulungnya, Yair Netanyahu, diketahui kini menetap di Miami, Amerika Syarikat.
Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pula masih belum mengeluarkan sebarang maklum balas terhadap tuduhan ini.
Netanyahu arah perlindungan diberi kepada semua calon PM
Dalam wawancara yang sama, Netanyahu turut mendedahkan bahawa beliau telah memaklumkan Ketua Agensi Keselamatan Shin Bet, David Zini, supaya perlindungan keselamatan yang sewajarnya diberikan kepada mana-mana calon perdana menteri.
Sebelum ini, media Israel ada melaporkan bahawa Zini enggan menyediakan perlindungan keselamatan kepada Gadi Eisenkot. Zini turut memaklumkan kepada pihak berkuasa pilihan raya negara itu bahawa tiada sebarang komplot dikesan untuk mencederakan tokoh politik berkenaan.
Parti Eisenkot diunjur mendahului dalam pilihan raya
Menurut unjuran semasa, parti pimpinan Eisenkot dijangka memperoleh jumlah kerusi terbesar dalam pilihan raya akan datang.
Namun perlu diingat, kerajaan Israel lazimnya dibentuk menerusi gabungan beberapa parti, bukan oleh satu parti sahaja yang memperoleh majoriti mutlak di Parlimen. Jadi kedudukan Eisenkot yang mendahului tidak semestinya bermakna beliau akan terus menjadi perdana menteri seterusnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.