
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa pihak polis cuai dalam siasatan berhubung kematian model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit, pada 2017 dan memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibunya.
Hakim Roz Mawar Rozain mendapati terdapat pelanggaran tanggungjawab oleh pihak berkuasa, termasuk kegagalan mengurus lokasi kejadian, menyimpan bahan bukti serta prosedur forensik yang lemah.
Tuntutan itu difailkan oleh Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen pada 20 November 2020, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Verstappen menyatakan bahawa defendan gagal melaksanakan tanggungjawab statutori dan cuai dalam menyiasat kematian anak perempuannya yang ditemui mati di CapSquare Residence, Kuala Lumpur pada 7 Disember 2017.
Ivana dilaporkan berada di rumah pasangan warga Amerika Syarikat, Alexander William Johnson dan Laura Almazkyzy untuk menghadiri pesta sebelum jatuh dari tingkat 20. Mayatnya ditemui di balkoni tingkat enam sekitar jam 10 pagi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.