
Dakwaan berlaku “terlebih belanja” berjumlah RM2.1 bilion melibatkan Program Jalan Luar Bandar (JALB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu dilihat berdasarkan peruntukan yang telah dipinda, bukan hanya jumlah asal.
Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil, berkata kegagalan membezakan kedua-dua perkara itu boleh menyebabkan angka perbelanjaan kerajaan diterjemahkan secara tidak tepat.
Menurutnya, setiap perbelanjaan kementerian tertakluk kepada kelulusan, waran dan sistem kewangan kerajaan. Justeru, kementerian tidak boleh sesuka hati membelanjakan wang melebihi peruntukan yang diluluskan.
“Bagi projek pembangunan, peruntukan boleh diselaraskan mengikut keperluan projek dan tertakluk kepada kelulusan, termasuk daripada Kementerian Kewangan (MOF).
“Jangan bandingkan peruntukan asal dengan perbelanjaan akhir tanpa melihat peruntukan yang telah dipinda,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Laporan kepada SPRM
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, membuat laporan kepada SPRM berhubung peruntukan projek JALB KKDW, termasuk perbezaan RM2.1 bilion antara peruntukan dan perbelanjaan projek berkenaan.
Zhemin berkata laporan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abdul Halim Aman, bahawa agensi berkenaan akan menyiasat perkara itu selepas menerima aduan rasmi.
Angka peruntukan dan perbelanjaan
Mengulas lanjut, Fadzmel menjelaskan peruntukan asal JALB adalah sekitar RM3.982 bilion sebelum diselaraskan kepada RM6.143 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Menurutnya, jumlah perbelanjaan sebenar bagi tempoh berkenaan pula ialah RM6.108 bilion, dengan baki kira-kira RM34.3 juta untuk dibelanjakan.
“Sebab itulah kadar peratusan belanja KKDW berubah daripada 61.3 peratus kepada 58.4 peratus selepas pelarasan, dengan beza hanya 2.9 mata peratus.
“Yang berubah ialah jumlah peruntukan selepas penyelarasan, bukan wang tiba-tiba dibelanjakan sesuka hati.
“Saya berharap rakyat dapat memahami tatacara kewangan kerajaan sebaiknya dan jangan jadi DAP,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.