
Kerajaan Sabah menyambut baik Belanjawan 2027 yang disifatkan komprehensif dan mampu meringankan beban kewangan rakyat menerusi pelbagai insentif serta pengurangan cukai.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berkata belanjawan itu turut mencerminkan kekukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara, meskipun berdepan kesan krisis di Asia Barat.
“Saya melihat belanjawan ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Menara Kinabalu, di sini.
Peruntukan terbesar untuk Sabah
Menerusi belanjawan itu, Sabah kekal sebagai penerima peruntukan Persekutuan terbesar berjumlah RM18.6 bilion bagi tahun depan. Jumlah itu meningkat RM1 bilion berbanding RM17.6 bilion tahun ini.
Hajiji berkata, kerajaan Persekutuan turut bersetuju menggandakan jumlah tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak.
“Ini bermakna seramai 4,200 pelajar dari Sabah dan Sarawak akan berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun,” katanya.
Jalan raya dan bekalan elektrik
Selain itu, projek jalan raya di Sabah dan Sarawak akan diteruskan dengan peruntukan RM3.3 bilion menerusi Belanjawan 2027.
Dalam usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik, Hajiji berkata, kerajaan turut bersetuju melaksanakan pemasangan sistem ‘Static Synchronous Compensator’ (STATCOM) di Sabah dengan kos RM204 juta.
“Sementara itu, projek Talian Penghantaran Southern Link akan diteruskan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di Sabah,” katanya.
Turut menyaksikan pembentangan belanjawan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainudin Aman, serta pembantu menteri dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.