
Pemuda Bersatu mengecam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana membenarkan empat pelajar Tingkatan 5 yang ditahan berhubung kes rogol beramai-ramai seorang pelajar Tingkatan 3 di Alor Gajah, Melaka, untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata pendirian “liberal” KPM bahawa pendidikan ialah hak semua pihak gagal mencerminkan keseriusan jenayah tersebut.
“Keputusan ini memberi mesej salah, seolah-olah kementerian mahu semua pihak melupakan kes ini, sedangkan mangsa terus menanggung trauma, kehinaan dan kehilangan maruah diri — terutamanya selepas video kejadian tular di media sosial,” katanya.
Beliau menegaskan kes ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada pelajar bahawa setiap perbuatan ada akibatnya, dan keputusan KPM membuktikan sikap tidak tegas terhadap kesalahan jenayah di sekolah.
Harris mencadangkan agar sekiranya mereka disabitkan kesalahan, calon boleh menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Henry Gurney tahun hadapan tanpa menafikan hak pendidikan mereka.
Empat suspek berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.50 petang pada 2 Oktober ketika mangsa menuju ke bilik darjahnya. Dua daripada mereka turut merakam kejadian tersebut dan video itu kemudian tular di internet.
Kes disiasat mengikut Seksyen 375(b) Kanun Keseksaan kerana rogol beramai-ramai dan mereka direman hingga 16 Oktober bagi membantu siasatan.
Harris turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kes buli dan salah laku serius pelajar yang menunjukkan keberanian melampau, serta menuduh KPM gagal bertindak tegas.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.