
Pemimpin kanan PAS menyatakan keyakinan bahawa penyokong Perikatan Nasional (PN) akan menyebelahi parti itu sekiranya berlaku pertembungan dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang.
Bendahari Agung PAS, Iskandar Samad, ketika ditemui FMT berkata parti itu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan krisis gabungan yang menyaksikan PAS menamatkan kerjasama dengan Bersatu.
“Kita yakin mereka yang menyokong PN sebelum ini akan menyokong PAS jika bertembung dengan Bersatu pada sesuatu kerusi,” katanya.
Iskandar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang menegaskan parti itu bersedia menghadapi PAS di semua bahagian sekiranya kedua-dua parti tidak lagi menjalin kerjasama.
Persoalan pendirian sebenar Bersatu
Iskandar turut mempersoalkan matlamat sebenar Bersatu dalam pilihan raya akan datang, sama ada untuk menewaskan PAS atau Pakatan Harapan (PH).
“Nak kalahkan PAS atau PH? Apakah pendirian sebenar Bersatu?” soalnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sebuah barisan pembangkang yang bersatu masih boleh dibentuk melalui PN, dengan menjangkakan lebih banyak parti akan menyertai gabungan itu, termasuk Pejuang dan Berjasa.
Krisis dalaman PN kian memuncak
Krisis dalaman PN bermula susulan isu peralihan jawatan Menteri Besar Perlis, yang akhirnya mencetuskan penamatan kerjasama antara PAS dan Bersatu, dan kini semakin melarat kepada usaha menyingkirkan Bersatu daripada gabungan itu.
Minggu lalu, Presiden PAS, Hadi Awang, menegaskan parti itu perlu memutuskan hubungan dengan Bersatu, mendakwa parti berkenaan terlalu ghairah mengejar kuasa sehingga mengabaikan perpaduan Melayu-Islam.
Hadi turut mengesahkan bahawa kedudukan Bersatu dalam PN akan dibincangkan dalam mesyuarat PAS, namun menjelaskan sebarang keputusan penyingkiran memerlukan sokongan majoriti anggota komponen.
Selain PAS dan Bersatu, PN turut dianggotai Gerakan serta MIPP.
Sehari sebelum itu, Muhyiddin menegaskan Bersatu kekal dalam PN dan akan terus bertanding atas lambang gabungan itu pada pilihan raya akan datang, sambil mengingatkan bahawa sebarang penyingkiran memerlukan konsensus, bukan keputusan sepihak.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.