
Penggunaan lambang Barisan Nasional (BN) oleh calon PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berpotensi mengubah persepsi pengundi terhadap calon, selain mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong tradisi parti diterajui Abdul Hadi Awang itu.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Mazlan Che Soh, berkata kekeliruan itu bagaimanapun boleh diminimumkan jika penerangan dibuat awal, konsisten dan seragam oleh kepimpinan serta jentera parti.
Menurutnya, isunya bukan semata-mata pertukaran lambang, tetapi sama ada akar umbi memahami sebab, bentuk dan batas kerjasama berkenaan.
“Pada masa sama, calon juga mungkin tidak lagi dinilai semata-mata sebagai calon PAS, tetapi sebagai calon kepada satu formula kerjasama yang lebih luas.
“Dalam konteks Melaka, lambang BN mempunyai pengenalan sejarah dan organisasi kuat, tapi ia tetap bergantung pada calon, kawasan, rekod setempat dan sejauh mana rasional kerjasama diterangkan kepada pengundi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, media memetik Abdul Hadi berkata, rundingan termasuk penggunaan lambang dan kerjasama antara partinya dengan BN masih diteruskan. PAS juga sedia menimbang untuk menggunakan lambang sendiri atau BN, bergantung pada hasil rundingan.
Kelebihan strategik dan imbalan identiti
Mazlan berkata, dari sudut strategik, penggunaan lambang yang sama mewujudkan keseragaman kempen. Ia memudahkan penyampaian mesej, bahan kempen dan mobilisasi jentera, selain memberi gambaran bahawa kerjasama itu benar-benar tersusun.
“Ia juga boleh memanfaatkan tahap pengenalan lambang BN di kawasan tertentu, tapi kelebihan itu hanya nyata jika pembahagian kerusi, peranan jentera dan mesej kempen benar-benar diselaras.
“Ini kerana lambang sama tanpa koordinasi organisasi tidak beri banyak nilai tambahan,” katanya.
Beliau menambah, penggunaan lambang BN tidak semestinya menjejaskan identiti PAS dalam jangka pendek, kerana parti itu mempunyai identiti, struktur dan penyokong tersendiri.
Bagaimanapun, jika penggunaan lambang pihak lain menjadi amalan berulang, persoalan keterlihatan jenama dan autonomi identiti parti akan menjadi lebih penting.
“Ini trade-off antara manfaat pilihan raya jangka pendek dengan pemeliharaan identiti organisasi jangka panjang,” katanya.
Watikah pencalonan perlu diselaras
Mengenai watikah pencalonan, Mazlan berkata, ia perlu dibezakan antara keputusan politik dalaman parti dengan kehendak undang-undang pilihan raya.
Di bawah Peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, penggunaan simbol parti memerlukan kebenaran bertulis pegawai parti yang membenarkan penggunaan simbol itu.
“Jadi isu pokok bukan sekadar siapa keluarkan watikah politik, tetapi sama ada dokumen pencalonan, kebenaran penggunaan simbol dan autoriti penandatangan diselaraskan dengan betul.
“Justeru penyelarasan antara PAS dan BN perlu dibuat lebih awal jika PAS mahu guna lambang BN, bagi mengelakkan percanggahan pada hari penamaan calon,” katanya.
Formula taktikal, belum model baharu
Mazlan berkata, kerjasama BN dan PAS ini masih terlalu awal untuk dianggap sebagai model baharu. Sebaliknya, ia wajar dilihat sebagai formula pilihan raya yang bersifat taktikal.
“Untuk berkembang jadi kerjasama lebih kekal, sekurang-kurangnya tiga perkara perlu stabil, iaitu pembahagian kerusi, keserasian jentera akar umbi dan mekanisme membuat keputusan bersama.
“Ini kerana kejayaan pada satu-satu pilihan raya belum dengan sendirinya membuktikan wujud penjajaran politik jangka panjang,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.