
Pemimpin DAP Melaka, Kerk Chee Yee, mengakui DUN Ayer Keroh yang disandangnya bukan kawasan selamat. Menurutnya, kerusi itu sentiasa berdepan cabaran sejak DAP memenanginya pada 2008.
Kerk, Adun Ayer Keroh sejak 2018 sehingga DUN dibubarkan bulan lalu, berkata Pakatan Harapan (PH) tidak boleh memandang ringan sebarang ramalan atau ancaman lawan pada PRN Melaka akan datang.
“Betul, saya mengakui DUN Ayer Keroh antara kerusi bahaya bagi PH dan DAP.
“Sebenarnya, sejak dulu lagi, DUN Ayer Keroh bukan kerusi selamat bagi DAP,” katanya kepada FMT.
Dua kerusi PH berisiko tewas
Kerk berkata demikian ketika mengulas pandangan penganalisis politik Ong Kian Ming. Menurut penganalisis itu, dua kerusi PH yang berkemungkinan tewas ialah Bukit Katil, disandang bekas ketua menteri Adly Zahari, dan Ayer Keroh yang dianggap kubu kuat DAP.
Pada PRN Melaka 2021, Kerk menang Ayer Keroh dengan majoriti 5,624 undi. Beliau menewaskan wakil Perikatan Nasional (PN), Michael Gan, yang meraih 2,479 undi, manakala wakil Barisan Nasional (BN), Yong Fun Juan, mendapat 3,835 undi.
Cabaran sejak 2018
Kerk berkata, ketika pertama kali bertanding pada PRU14 2018, BN baru sahaja melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya. Menurutnya, langkah itu bertujuan merampas Ayer Keroh daripada DAP.
Beliau turut mengimbas cabaran pada PRN 2021, apabila berdepan dua calon “heavyweight” daripada MCA dan Gerakan.
Katanya, calon MCA ketika itu ialah setiausaha hal ehwal masyarakat Cina kepada ketua menteri Melaka, manakala calon Gerakan pula pengerusi parti itu di peringkat negeri.
“Jadi, saya sedar bahawa perjalanan kali ini bukan mudah,” katanya.
Kerjasama PAS-Umno dan khidmat kepada rakyat
Kerk berkata, kerjasama PAS dan Umno boleh memberi kesan kepada kawasan pengundi campuran seperti Ayer Keroh. Beliau menyifatkan kedua-dua parti itu menggunakan retorik perkauman tanpa menawarkan penyelesaian substantif terhadap isu rakyat.
Menurutnya, prestasi pilihan raya tidak seharusnya dinilai berdasarkan ramalan penganalisis semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira komitmen dan khidmat kepada masyarakat.
“Bagi saya, yang penting bukan sekadar apa yang diramalkan oleh penganalisis, tetapi sejauh mana kita membuktikan komitmen kita melalui usaha serta khidmat kepada masyarakat sepanjang lapan tahun yang lalu,” katanya.
Pengundi Melaka akan keluar mengundi pada 14 Nov. Setakat ini, belum ada pakatan yang diumumkan secara rasmi bagi PRN itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.