
Selepas mengucapkan terima kasih kepada Merlimau, Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Salleh, mencetuskan tanda tanya apabila membayangkan kemungkinan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Lebih mencuri perhatian, kerusi yang dimenanginya pada PRN 2021 itu turut dikaitkan dengan spekulasi bakal diserahkan kepada PAS. Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Akmal akan terus mempertahankan Merlimau atau berpindah ke kawasan baharu.
Akmal buka ruang menerusi Facebook
Menerusi hantaran di Facebook semalam, Akmal seolah-olah membuka ruang kepada kemungkinan itu apabila menyebut Serkam dan Sungai Rambai sebagai antara pilihan. Beliau turut meminta cadangan daripada orang ramai.
“Terima kasih Merlimau. Selepas ini ke mana? Kalau ke Serkam atau Sungai Rambai boleh ke, atau ada cadangan lain?” tulisnya.
Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk sokongan terhadap kemungkinan beliau bertanding di kawasan lain.
Antara yang memberikan respons ialah Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, yang menyatakan kesediaan membantu Akmal. Ada juga yang mencadangkan supaya beliau mempertimbangkan untuk bertanding di peringkat Parlimen.
Khaidhirah persoal hantaran secara berseloroh
Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin, Khaidhirah Abu Zahar, secara berseloroh mempersoalkan hantaran berkenaan. Beliau membayangkan ia mungkin sekadar gurauan dan tidak perlu ditafsirkan terlalu serius.
“Saya pun ada baca status beliau….kenapa Akmal, kenapa kau buat kawan macam ni,” katanya ketika ditemui.
Khaidhirah, yang lebih mesra dikenali sebagai Dira, antara individu yang dilihat menangis ketika Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka pada Januari lalu. Surat peletakan jawatan itu kemudian ditolak oleh Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.
Spekulasi kerusi Merlimau untuk PAS
Dalam perkembangan berkaitan, spekulasi mengenai kemungkinan kerusi Merlimau diberikan kepada PAS turut menjadi perhatian menjelang rundingan pembahagian kerusi PRN Melaka.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Melaka, Ahmad Bill Rahudin, menafikan desas-desus berkenaan. Beliau memaklumkan pembahagian kerusi masih dalam perbincangan.
Pada PRN Melaka 2021, Akmal memenangi DUN Merlimau dengan memperoleh 5,633 undi. Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Azrin Ab Majid yang mendapat 2,385 undi, dan calon PN, Abd Alim Shapie yang meraih 1,622 undi.
Kemenangan itu menyaksikan Akmal memperoleh majoriti 3,248 undi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.