
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, menolak gesaan supaya Perikatan Nasional (PN) menyediakan belanjawan alternatif 2027. Alasannya, dokumen sedemikian tidak mempunyai peluang untuk dilaksanakan.
Bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Larut itu berkata peranan pembangkang sebaliknya adalah untuk meneliti dasar kerajaan dan mencadangkan pembetulan jika perlu.
“Sebagai pembangkang orang selalu minta kita ada belanjawan alternatif. Tapi boleh laksana atau tidak? Pertamanya tidak boleh dilaksanakan dan tidak akan dilaksanakan.
“Jadi kita syok sendiri je sebenarnya. Sebab itu yang kita nak adalah untuk memberikan pandangan kita terhadap belanjawan,” katanya.
Respons kepada cabaran Mustapha Sakmud
Hamzah berkata demikian sebagai respons kepada Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Mustapha Sakmud. Mustapha dilaporkan mencabarnya membentangkan belanjawan alternatif terperinci yang menunjukkan bagaimana pembangkang akan mengurangkan defisit fiskal tanpa menjejaskan pembangunan negara.
Cabaran itu dikeluarkan selepas Hamzah mengkritik Belanjawan 2027. Beliau turut memberi amaran supaya institusi strategik negara, seperti Petronas, Tenaga Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, tidak dibebankan dengan keputusan yang disifatkannya sebagai didorong kepentingan politik.
Hamzah hari ini menegaskan pembangkang lebih memilih menggunakan perbahasan belanjawan untuk mencabar dasar yang dianggap tidak memberi manfaat secukupnya kepada negara atau rakyat.
“Kalau ramai tak bersetuju dalam Dewan, tak diluluskan belanjawan itu. Apa yang kami lakukan ini adalah membetulkan polisi-polisi yang kita rasa tidak memberikan manfaat yang lebih baik kepada negara dan rakyat,” katanya.
Hutang tidak semestinya negatif
Beliau menambah bahawa perbezaan antara pembangkang dan kerajaan bukan sekadar berkisar mengenai peruntukan individu. Ia turut mencerminkan perbezaan pandangan yang lebih luas dari segi falsafah ekonomi.
Mengambil contoh hutang kerajaan, Hamzah berhujah bahawa berhutang tidak semestinya dilihat negatif jika ia digunakan untuk mewujudkan aset produktif dan menjana pertumbuhan pada masa hadapan.
“Kalau nak membangunkan negara, kalau nak menentukan bahawa hutang yang kita buat untuk membangunkan aset negara, apa salahnya?
“Contoh, hutang untuk menambah penilaian aset masa depan,” katanya.
Cadang pelabuhan baharu di Kota Bharu
Hamzah berkata pembangkang turut mempertimbangkan projek infrastruktur berskala besar yang boleh berfungsi sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi.
Antara idea yang dikemukakannya ialah menambah baik kesalinghubungan logistik dari timur ke barat, serta membangunkan sebuah lagi pelabuhan di Kota Bharu, Kelantan, bagi merangsang pertumbuhan di wilayah sekitarnya.
“Contoh hari ini saya nak maklumkan kalau kita di masa hadapan nak tentukan ada engine of growth, apa perlu kita lakukan? Infrastruktur.
“Contoh, hari ini kami (pembangkang) dah fikir, dah banyak bincang, salah atau tidak kalau kita cut across dari timur ke barat? Pembukaan dari segi logistik.
“Kita boleh mewujudkan satu lagi pelabuhan di Kota Bharu untuk membangunkan kawasan tersebut,” katanya.
Menurut Hamzah, cadangan sebegini mencerminkan visi jangka panjang pembangkang terhadap ekonomi.
“Ini adalah perkara-perkara yang kami fikirkan untuk masa hadapan, demi mewujudkan pemacu pertumbuhan.
“Jika mereka tidak mempunyai wawasan sedemikian, kami bersedia untuk mengambil alih sebagai kerajaan,” tambahnya.
Ditanya sama ada kenyataan itu bermaksud pembangkang belum memutuskan untuk menyokong Belanjawan 2027 apabila dibawa untuk pengundian, Hamzah tidak memberikan jawapan yang jelas.
“Beginilah, bila kita bahas, ada strategi kita. Yang nak tanya awal nak undi ke tidak ni kenapa? Biarlah dulu kita bahas,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.