
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng meramalkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu meraih majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekiranya pakatan mereka diteruskan.
Sng berkata, situasi itu menjadikan gabungan memerintah di negeri Borneo, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tidak lagi akan menjadi “kingmaker”, terutamanya jika berlaku senario Parlimen tergantung.
Bekas ketua PKR Sarawak itu turut menambah, berdasarkan unjuran semasa, pakatan BN-PN bakal menyapu bersih negeri Semenanjung, kecuali Pulau Pinang.
“Jumlah keseluruhan kerusi dimenangi BN-PN pada PRU 2022 ialah 98 kerusi. Angka ‘ajaib’ membentuk kerajaan ialah 112. Hanya 14 lagi kerusi Parlimen diperlukan.
“Tanpa mengambil kira jajaran politik parti di Malaysia Timur dari Sabah dan Sarawak, saya percaya berdasarkan unjuran semasa, berkemungkinan besar BN-PN senang meraih majoriti mudah selepas PRU16,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Senario Parlimen tergantung PRU 2022
BN, PN dan Pakatan Harapan (PH) bersaing di 171 kerusi Parlimen pada PRU lalu, di mana sebahagian besarnya terletak di Semenanjung, termasuk 86 kerusi mempunyai komposisi 65 peratus pengundi Melayu.
Pilihan raya itu membawa kepada Parlimen tergantung dengan PH menang 82 daripada 222 kerusi, diikuti PN (74), BN (30), GPS (23) dan GRS (enam).
BN, GPS dan GRS kemudiannya menyokong Pengerusi PH, Anwar Ibrahim membentuk kerajaan Madani sebagai perdana menteri.
Sebelum ini, penganalisis politik meramalkan PRU16 bakal menyaksikan keputusan hampir sama dengan tiada satu pun parti memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.